Kuala Lumpur: ForexTime Ltd (ForexTime), syarikat broker pertukaran asing antarabangsa menjangkakan ringgit mampu mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat tahun ini berikutan mata wang itu terdedah kepada pengambilan untung oleh peniaga.

Faktor itu turut didorong oleh tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang melengahkan perancangan bagi menaikkan kadar faedah dengan memberi peluang kepada peningkatan mata wang yang menyusut termasuk Malaysia.

Ketua Penganalisis Pasarannya Jameel Ahmad berkata, sekiranya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat meneruskan perancangan untuk menaikkan kadar faedah pada September ini, ia akan memberi kesan kepada kemerosotan nilai ringgit.

Beliau berkata, kelemahan mata wang ringgit baru-baru ini adalah disebabkan oleh spekulasi dan dolar Amerika Syarikat yang lebih kukuh termasuk kejatuhan harga komoditi.

“Walaupun ekonomi Malaysia dikaitkan dengan komoditi, segmen berkenaan hanya menyumbang sekitar 20 peratus kepada eksport Malaysia. Pada masa sama, prestasi kelemahan ringgit juga memberi kesan positif kepada kemasukan lebih banyak pelabur asing ke dalam negara” katanya pada taklimat media, di sini, semalam.

Pada jam 5 petang semalam, ringgit ditutup pada paras 3.69 berbanding dolar AS berbanding dagangan kelmarin yang ditutup pada harga 3.70.

Jameel berkata, sebelum ini, mata wang bagi pasaran baru muncul sudah terjejas disebabkan sentimen yang mengatakan bahawa Rizab Persekutuan bakal menaikkan kadar faedah seawal Jun tahun ini selain kejatuhan harga minyak mentah global yang menambah tekanan ke atasnya.

Sementara itu, ForexTime menjangkakan harga minyak global dijangka kembali mengukuh pada suku ketiga tahun ini, namun masih bergantung kepada keadaan ekonomi dunia.

“Harga minyak global dunia akan kembali pulih jika Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengurangkan kuantiti pengeluarannya yang telah mengakibatkan lebihan bekalan dalam pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2015 @ 7:48 AM