Oleh Mohd Asri Ahmad

Ringgit mengalami penyusutan nilai melebihi 15 peratus sejak setahun lalu berbanding dolar Amerika Syarikat dengan menyentuh paras terendahnya iaitu RM3.77 pada 8 Jun lalu. Kadar ringgit semasa seakan menurun sedikit demi sedikit ke arah tahap psikologi pada kadar RM3.80 seperti mana ringgit pernah ditambat pada September 1998 ketika krisis kewangan Asia.

Tambatan ini berkuat kuasa lebih enam tahun sebelum ia ditarik balik pada Julai 2005 di mana ringgit kemudian diapungkan semula dan sejak itu ringgit pernah mengukuh sehingga paras RM2.90 dan menjunam sehingga RM3.70 berbanding dolar Amerika.

Kejatuhan ringgit masa kini selari dengan kejatuhan kadar mata wang serantau dan disebabkan jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada akhir 2015 berdasarkan data ekonomi yang semakin mengukuh di sana, justeru, menarik perhatian pelabur antarabangsa untuk mengalih pelaburan ke pasaran aset kewangan di Amerika Syarikat.

Untuk golongan usahawan, kejatuhan ringgit mungkin membawa rahmat dan bagi sesetengah mungkin juga menepuk dahi dengan cabaran yang hadir bersama kejatuhan ringgit.

Pengeksport boleh mendapat manfaat daripada harga produk Malaysia yang lebih murah di pasaran dunia. Ia dapat meningkatkan daya saing dan membantu meningkatkan tahap permintaan.

Mereka juga boleh meningkatkan nilai jualan dengan mendapat lebih banyak ringgit kerana jualan yang didagangkan dalam dolar Amerika. Usahawan tempatan digesa untuk mengambil kesempatan di sebalik kejatuhan ringgit dengan mengeksport produk mereka ke pasaran luar khususnya ASEAN di mana kos eksport adalah lebih rendah berbanding sebelumnya.

Usahawan tempatan juga disaran untuk mengambil peluang Malaysia sebagai tuan rumah bagi Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) tahun ini untuk meluaskan lagi pasaran eksport pada harga yang lebih kompetitif.

Ringgit yang lemah boleh memberi kelebihan kepada sektor pelancongan kerana dapat menarik minat pelancong asing memandangkan mereka mendapat kelebihan daripada segi tukaran asing. Ini akan memberi impak positif di mana pelancong asing membuat tukaran wang di dalam negara dan secara tidak langsung membawa masuk aliran wang ke dalam negara.

Ia juga merangsang kemasukan dana asing jangka pendek yang sedang mencari peluang untuk mengambil kesempatan ke atas kadar pertukaran asing yang lebih baik.

Sebaliknya, ringgit yang lemah menyebabkan harga produk yang diimport menjadi lebih mahal dalam nilai ringgit. Ini boleh membebankan kos perniagaan, terutamanya perniagaan yang banyak bergantung kepada import. Ia turut menyebabkan pelabur asing menjual saham mereka dan keluar dari pasaran saham.

Setiap yang berlaku pasti ada pro dan kontra, begitu juga dalam kejatuhan kadar mata wang ringgit. Apa yang penting bagi Malaysia ialah untuk mempunyai kadar ringgit yang stabil supaya kadar turun naik ringgit dalam julat terkawal kerana pelabur dan peniaga tidak suka kepada ketidakpastian.

Untuk pelabur hartanah, ringgit yang lemah dan kenaikan harga hartanah di luar negara akan menyebabkan ada dalam kalangan pelabur yang menyusun semula portfolio pelaburan mereka. Antara sebab utama pelabur hartanah melabur di luar negara adalah untuk kepelbagaian risiko. Pelabur hanya akan membuat pelaburan menggunakan mata wang yang stabil kerana objektif pelaburan adalah untuk mendapatkan peningkatan nilai pelaburan.

Turun naik nilai mata wang secara mendadak mengundang ketidakpastian dan dalam pelaburan, ketidakpastian berisiko tinggi untuk rugi.

Pasaran hartanah yang bebas dan kos pemilikan seperti duti setem memainkan peranan penting dalam membuat keputusan di mana untuk melabur. Sama ada bakal pembeli berkemungkinan menangguh pembelian hartanah di luar negara berikutan kejatuhan ringgit dan mengalihkan tumpuan ke pasaran hartanah tempatan tidak penting.

Kesan pembelian hartanah luar negara dijangkakan sedikit sahaja dan tidak akan menyebabkan kesan besar kepada ekonomi Malaysia. Walaupun kejatuhan ringgit mungkin kelihatan seakan suatu berita buruk dalam jangka masa pendek, pelabur berpandangan jauh akan mengambil peluang ini untuk melabur dalam aset tempatan.

Untuk pelabur di dalam pasaran saham, syarikat yang menerima kesan negatif disebabkan kejatuhan ringgit adalah syarikat di dalam sektor automotif, pengangkutan udara, tenaga dan telekomunikasi disebabkan peningkatan kos bahan import, kos bahan api atau pinjaman dalam dolar Amerika.

Seperti kata bijak pandai, di dalam setiap kemelut ada peluang. Begitu juga di dalam pasaran saham. Walaupun kejatuhan ringgit menambah kepada sentimen negatif yang sedia ada di pasaran saham, beberapa sektor dan syarikat akan mendapat manfaat daripada kejatuhan ringgit disebabkan oleh jualan yang didenominasi dalam dolar Amerika.

Dalam tempoh terdekat, yang medapat faedah dari kejatuhan ringgit adalah industri berorientasikan eksport seperti getah, jentera, kimia, perabot dan sahamteknologi di mana jualan adalah di dalam mata wang dolar Amerika manakala kosnya di dalam ringgit.

Sebagai contoh, harga saham Evergreen Fibreboard Berhad, pengeluar papan gentian dan produk berasaskan kay, meningkat 170 peratus setahun kepada RM1.35 masa kini. Ia juga bukan sesuatu yang luar biasa melihat harga saham teknologi seperti MMS Ventures Berhad juga meraih pulangan lebih dari 200 peratus setahun.

Bersandarkan sentimen keseluruhan pasaran saham yang kurang memberangsangkan, Indeks FBMKLCI sudah jatuh ke tahap 1714 bulan ini, tahap terendah dalam masa 5 bulan terkini. Walaupun penurunan ini semacam belum berkesudahan, terdapat banyak saham yang mencecah paras terlebih jual.

Ini memberi peluang kepada pelabur yang arif untuk meraih pulangan yang baik dari saham bermodal kecil, sederhana dan saham pertumbuhan. Kejatuhan nilai ringgit adalah bersifat sementara disebabkan sentimen pasaran yang masih negatif namun kerajaan sudah pasti akan memberi fokus kepada usaha untuk terus memperkukuhkan sistem ekonomi, sekali gus akan meningkatkan kembali nilai Ringgit.

Apa paling penting ialah penguasaan ilmu dan penggunaan ilmu tersebut untuk mengenal pasti peluang di dalam pasaran supaya pelaburan dengan ilmu di dada ini dapat mendatangkan hasil yang baik. Jadilah pelabur yang bijak.

Penulis adalah Jurulatih Pelaburan Saham Wealth Magnet International Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 6:36 AM