DARI kanan, Dr Shahrum, Dr Chia, Dr Zetti, Katherine dan Clarens ketika bengkel media sempena Hari Denggi ASEAN di Petaling Jaya, baru-baru ini.
DARI kanan, Dr Shahrum, Dr Chia, Dr Zetti, Katherine dan Clarens ketika bengkel media sempena Hari Denggi ASEAN di Petaling Jaya, baru-baru ini.
PEMINDAHAN virus berlaku daripada seorang yang dijangkiti kepada nyamuk dan kemudian kepada individu lain.
PEMINDAHAN virus berlaku daripada seorang yang dijangkiti kepada nyamuk dan kemudian kepada individu lain.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Sebanyak 56,532 kes denggi dengan sekurang-kurangnya 158 kematian dicatatkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan di laman web http://idengue.remotesensing.gov.my, melaporkan Sela­ngor terus menjadi penyumbang tertinggi dengan mencatatkan 32,483 kes sepanjang tempoh itu.

Ia diikuti Perak (5,690 kes), Johor (4,277), Kuala Lumpur (3,578), Pulau Pinang (2,725) dan Sabah (1,404). Peningkatan terus kes deng­gi membuatkan orang ramai terus berjaga-jaga dan lebih peka terhadap persekitaran mereka.

Menyedari denggi kini ancaman kesihatan kepada negara, Sanofi Pasteur menganjurkan sebuah bengkel media bersempena Hari Denggi ASEAN untuk berkongsi maklumat terkini tentang sikap masyarakat terhadap wabak denggi yang mengancam negara.

Denggi menjadi penyakit berjangkit bawaan nyamuk yang paling pantas merebak di planet ini, melebihi malaria yang menjangkiti sekurang-kurangnya 390 juta orang setiap tahun.

Apa yang lebih membimbangkan, jika dibandingkan dengan tempoh laporan sama pada 2014, kematian yang disebabkan oleh denggi adalah hampir 50 peratus lebih tinggi pada suku pertama 2015, dengan kematian sebanyak 136 yang dilaporkan. Ini bermakna lebih daripada satu kematian berlaku setiap hari pada suku pertama 2015.

Pengarah Urusan Bahagian Vaksin untuk Sanofi Pasteur (Malaysia, Singapura dan Brunei), Baptiste De Clarens berkata, berikutan peningkatan denggi di Malaysia ketika ini, membina kesedaran denggi perlu diutamakan.

“Pada 2014, wujud peningkatan yang sangat tinggi bagi kes denggi, iaitu sebanyak tiga kali ganda berbanding 2013. Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah sikap tidak apa masyarakat mengenai topik denggi ini.

“Di Sanofi Pasteur, kami berasa bertanggungjawab menyeru rakyat Malaysia untuk memberi perhatian kepada denggi. Penting untuk rakyat Malaysia memahami risiko denggi dan mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri daripada wabak yang sedang merebak di seluruh negara ini,” katanya ketika ditemui pada bengkel media bersempena Hari Denggi ASEAN di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Dibawa oleh nyamuk Aedes aegypti, denggi merebak luas di kawasan tropika, dengan risiko variasi tempatan yang dipengaruhi oleh hujan, suhu dan pembangunan bandar yang cepat dan tidak terancang.

Semua ini adalah faktor utama yang menjadikan Malaysia sebagai negara berisiko tinggi. Malah, deng­gi sangat endemik di Malaysia di mana semua empat serotip virus denggi ditemui.

Pengarah Kanan dan Pakar Mikrobiologi Klinikal Jabatan Mikrobiolog Dan Imunologi Perubatan, Fakulti Perubatan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Zetti Zainol Rashid berkata, semakin ramai golongan muda dijangkiti denggi.

“Tanggapan bahawa denggi biasanya menjangkiti kanak-kanak atau golongan yang tua dan lemah adalah salah. Sebaliknya, lebih aktif gaya hidup seseorang itu, lebih tinggi risikonya.

“Ramai golongan muda, terutama yang mempunyai rutin harian yang sibuk, berisiko digigit oleh nyamuk Aedes yang dijangkiti, semasa menjalani rutin harian mereka. Semua tahap umur dijang–kiti denggi, malah kes yang tertinggi dicatatkan dalam kalangan remaja dan golongan muda berusia antara 15 hingga 29 tahun,” katanya.

Walaupun jumlah kes dalam kalangan kanak-kanak semakin menurun, kira-kira 90 peratus, orang dewasa di Malaysia didapati seropositive, ini bermakna antibodi denggi berada di dalam badan kerana mereka dijangkiti denggi sebelum ini.

Kadar seropositivite juga didapati meningkat mengikut umur. Walaupun jangkitan dan pemulihan satu daripada empat serotip denggi memberikan imuniti sepanjang hayat bagi jenis serotip berkenaan, namun jangkitan seterusnya atau jangkitan sekunder oleh serotip denggi yang lain akan meningkatkan risiko mendapat denggi yang lebih teruk atau demam denggi berdarah (dengue haemorrhagic fever, DHF).

Oleh itu, remaja dan golongan muda mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan denggi yang lebih teruk. Kadar seropositivite yang tinggi di dalam populasi juga menandakan bahawa denggi akan kekal merebak di Malaysia untuk jangka masa yang lama.

Dalam sebuah kajian yang ditaja oleh Sanofi Pasteur dan dijalankan oleh syarikat penyelidikan pasaran global Ipsos yang bertajuk ‘Denggi: Memahami Pengetahuan dan Sikap Pengguna’, keputusannya menunjukkan bahawa walaupun 96 peratus daripada 500 orang dewasa yang ditemubual tahu mengenai denggi, hanya 38 peratus menganggap demam denggi sebagai penyakit yang mengancam nyawa dan hanya 11 peratus berasa mereka berisiko tinggi dijangkiti denggi.

Golongan yang mengambil langkah pencegahan seperti memastikan persekitaran bersih dan mengelakkan penakungan air, berasa bahawa mereka tidak berisiko.

Ini adalah andaian yang berbahaya, kerana transmisi berlaku daripada seorang individu yang dijangkiti kepada nyamuk dan kemudian kepada individu yang lain.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur (UMMC), Prof Datin Dr Chia Yook Chin menjelaskan, pesakit yang mengalami simptom denggi paling serius biasanya kerana lambat dikesan.

Jelasnya, dijangkiti denggi boleh melemahkan seseorang walaupun individu berkenaan paling sihat berbanding yang lain. Kebanyakan pesakit mengalami rasa sakit, loya, keletihan dan tertekan kerana bimbang mengenai paras platlet mereka.

“Rakyat Malaysia perlu ingat bahawa tiada penawar yang diketahui untuk denggi dan satu-satunya cara untuk pulih daripada jangkitan ini bergantung kepada sistem imun tubuh anda sendiri.

“Langkah pencegahan terbaik un­tuk denggi adalah mengelak daripada digigit nyamuk aedes. Namun, dengan rutin harian kita yang sibuk, ini bukanlah pilihan yang mudah terutamanya untuk golongan muda yang sihat dan aktif.

“Anda perlu bijak mengatur aktiviti luar rumah, mengelak keluar ketika waktu senja dan awal pagi ketika nyamuk paling aktif. Ambil langkah berjaga-jaga dan pakai baju berlengan panjang dan seluar panjang ketika melakukan aktiviti luar dan gunakan penghalau nyamuk,” katanya.

Denggi yang teruk boleh me­ngakibatkan kerosakan organ, pendarahan teruk, dehidrasi, malah maut. Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa 500,000 orang dimasukkan ke hospital setiap tahun disebabkan denggi yang teruk dan kira-kira 2.5 peratus daripada golongan yang dijangkiti telah mati disebabkannya.

Turut hadir, Pengarah Perubatan Bersekutu bagi Sanofi Pasteur Malaysia, Dr Shahnun Ahmad serta Pengarah Urusan Ipsos, Katherine Davis.

Untuk maklumat lanjut mengenai denggi, punca, simptom dan langkah pencegahannya, sila layari www.sanofipasteur.com

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:05 AM