KEBANYAKAN rakyat Malaysia bersikap acuh tak acuh terhadap denggi.
KEBANYAKAN rakyat Malaysia bersikap acuh tak acuh terhadap denggi.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Pada separuh pertama tahun ini, kes denggi di Malaysia meningkat sehingga 66,721 kes, dengan 165 kematian direkodkan di seluruh negara. Lebih membimbangkan, kebanyakan rakyat Malaysia bersikap acuh tak acuh mengenai denggi.

Endemik demam denggi terus meningkat, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), baru-baru ini dalam kenyataannya menyebut kira-kira 390 juta kes dilaporkan setiap tahun dan 96 juta daripadanya dikesan turut memperoleh komplikasi penyakit lain.

Laporan itu menganggarkan lebih 3.9 bilion penduduk di 128 negara seluruh dunia, berisiko tinggi terkena jangkitan virus denggi dan bilangannya terus meningkat.

Sanofi Pasteur menerusi bahagian vaksin Sanofi, baru-baru ini mengumumkan Filipina telah memberi kelulusan pemasaran kepada vaksin pertama yang akan dilesenkan untuk pencegahan denggi di Asia.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Filipina meluluskan vaksin denggi tetravalen berkenaan untuk pencegahan denggi yang disebabkan oleh empat jenis denggi bagi individu berusia 9 hingga 45 tahun yang tinggal di kawasan endemik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sanofi Pasteur, Olivier Charmeil berkata, kelulusan vaksin denggi pertama di Asia yang menanggung 70 peratus beban penyakit ini di peringkat global adalah satu pencapaian yang besar dalam pencegahan denggi dan kesihatan awam.

“Kelulusan penggunaan vaksin denggi di Filipina adalah yang pertama di dunia dan kedua Mexico mengukuhkan komitmen Sanofi Pasteur sejak sekian lama untuk memperkenalkan vaksin baru yang inovatif di seluruh dunia di mana denggi adalah ancaman besar kepada kesihatan awam,” katanya kepada Metro Ahad.

Beban demam denggi di Asia kekal sebagai yang tertinggi di dunia dengan anggaran 67 juta orang dijangkiti setiap tahun. Sebagai penyakit urban, denggi menyerang populasi di Asia dalam bentuk wabak tidak menentu yang mampu melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan seterusnya memberikan kesan yang negatif terhadap aktiviti sosial dan ekonomi.

Negara endemik di Asia membelanjakan kira-kira AS$6.5 bilion (RM28 bilion) setiap tahun untuk kos perubatan dan lain-lain kos yang berkaitan dengan denggi.

Sementara itu, Presiden Yayasan Vaksin Filipina, Dr May Book Montellano menjelaskan, pencegahan denggi adalah keutamaan perubatan yang penting dan semakin diperlukan di Filipina.

“Vaksinasi diterima dengan meluas sebagai salah satu cara yang paling menjimatkan kos untuk mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit seperti denggi.

“Kelulusan vaksin denggi pertama di dunia ini adalah penambahan yang penting kepada pendidikan awam yang berterusan serta usaha kawalan vektor yang kini diarahkan kepada pencegahan denggi di negara kami,” katanya.

Denggi adalah keutamaan kesihatan awam di negara tropika dan subtropika di Asia dan Amerika Latin. Sanofi Pasteur kini memperkenalkan vaksin dengginya di negara ini di mana vaksin berkenaan mempunyai potensi yang terbesar untuk mengurangkan beban denggi global dan membantu mencapai matlamat Organisasi Kesihatan Sedunia untuk mengurangkan kadar kematian akibat denggi sebanyak 50 peratus dan morbiditi sebanyak 25 peratus menjelang 2020 di negara endemik.

Sanofi Pasteur mendaftarkan lebih 40,000 peserta di dalam kajian keselamatan dan keberkesanan klinikal menyeluruh yang keba­nyakannya dijalankan di negara endemik serta membina kemudahan penghasilan vaksin khas di Perancis untuk memastikan bekalan vaksin yang berkualiti dan mencukupi bagi memenuhi permintaan daripada negara endemik selepas ia diperkenalkan.

Beban penyakit denggi di peringkat global

Menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), deng­gi adalah penyakit bawaan nyamuk yang paling pantas berkembang di dunia hari ini, menyebabkan hampir 400 juta jangkitan setiap tahun.

Sejak 50 tahun lalu, denggi telah berkembang dari hanya wujud di beberapa buah negara sehingga menjadi endemik di 128 negara yang didiami kira-kira empat bilion orang, dan insiden denggi telah meningkat sebanyak 30 kali ganda dalam tempoh itu.

Walaupun denggi menjangkiti individu semua peringkat umur dan latar belakang sosioekonomi, jumlah kes denggi yang tertinggi di dunia adalah dalam kalangan populasi endemik yang banyak bergerak dan sosial merangkumi golongan praremaja hingga dewasa sekurang-kurangnya berusia 9 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:01 AM