Kuala Lumpur: Promosi tempat duduk percuma AirAsia kembali lagi dengan tiga juta tempat duduk ditawarkan untuk penerbangan AirAsia dan AirAsia X terpilih di seluruh rangkaian laluan syarikat penerbangan itu.

Ketua Pegawai Komersial Kumpulan Siegtraund Teh berkata, promosi tambang itu termasuk semua dari serendah RM9.54 meliputi cukai dan fi sehala.

“Tempat duduk percuma kami kembali lagi dan kami berharap lebih ramai akan mengambil peluang ini untuk melakukan perjalanan dan meneroka tempat baru.

“Ini adalah waktu yang sesuai untuk pengguna kami merancang percutian dan perjalanan mereka untuk tahun depan,” katanya.

Bagi promosi berkenaan, pengguna hanya perlu membayar cukai dan fi yang dikenakan manakala tempat duduk percuma. Promosi itu sedia untuk tempahan dari 22 hingga 28 Jun 2015 bagi perjalanan dari 15 Februari hingga 31 Ogos, 2016. Tempat duduk percuma itu untuk pelbagai destinasi domestik dan antarabangsa dari Kuala Lumpur dan hab lain AirAsia di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching.

Promosi tambang termasuk semua serendah RM129 sehala juga boleh didapati untuk destinasi seperti Perth, Melbourne, Chengdu, Seoul dan Tokyo. Pengguna juga boleh menikmati kemewahan pada harga berpatutan dengan Kelas Perniagaan AirAsia X yang menawarkan tambang termasuk semua dari serendah RM699 sehala ke Perth, Xi’an, Taipei, Osaka dan Colombo dari Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 6:36 AM