Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Malaysia Airlines mengumumkan promosi tambang dua hari dikenali ‘Here, There and Everywhere’ bagi tempat duduk di destinasi terpilih untuk laluan domestik dan antarabangsa pada harga serendah daripada RM99 sehala bagi kelas ekonomi dalam tempoh tawaran bermula hari ini dan bakal berakhir tengah malam keesokan harinya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew berkata, pelancaran jualan tempat duduk ke pelbagai destinasi menarik termasuk London dengan tambang bermula RM999 itu bertujuan meraikan fasa kedua pemulihan syarikat dan kedudukannya sebagai syarikat penerbangan negara.

Menurutnya, 2016 menjadi satu tahun yang hebat dengan syarikat meletakkan asas untuk pertumbuhan dan kempen ini menjadi permulaan kepada pulangan syarikat di mana ia raikan bersama pelanggan setia.

“Tawaran merangkumi semua perkara tanpa caj tersembunyi di mana tambang penerbangan didatangkan dengan elaun bagasi rendah percuma, makanan enak, caj kad kredit percuma dan tiada caj tersembunyi,” katanya.

Untuk perjalanan dari 2 September 2016 hingga 8 Mac 2017, pelanggan boleh menempah tiket dari Kuala Lumpur ke London pada harga dari RM999 sehala, Perth (RM379 sehala) dan Hong Kong (RM339 sehala).

Syarikat penerbangan negara ini turut menawarkan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Shanghai bermula pada harga dari RM279 sehala dan Tokyo (RM499 sehala) di samping penerbangan domestik (RM99 sehala).

Tambang menarik ini didatangkan dengan daftar masuk bagasi 30 kilogram dan hidangan percuma tanpa sebarang caj kad kredit. Untuk menikmati promosi ini, pelanggan boleh menempah tiket masing-masing melalui agensi pelancongan, hubungi pusat panggilan 1300 88 3000, aplikasi mudah alih MHmobile atau melayari www.malaysiaairlines.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 4:56 AM