Kuala Lumpur: AirAsia X melancarkan pilihan tempahan berbilang bandar (Multi-city) untuk memudahkan penempahan bagi mereka yang merancang untuk terbang merentasi rangkaiannya.

Ia meliputi Australia (Gold Coast, Melbourne, Sydney, Perth, Adelaide), China (Shanghai, Beijing, Hangzhou, Chengdu, Xi’an, Chongqing), Jepun (Tokyo, Osaka, Nagoya), Korea Selatan (Seoul, Busan), Taiwan (Taipei), Nepal (Kathmandu), Sri Lanka (Colombo) dan Arab Saudi (Jeddah).

Perkhidmatan berkenaan membolehkan pelanggan membuat tempahan minimum dua penerbangan dan maksimum enam penerbangan melalui satu transaksi. Bergantung kepada pilihan destinasi dan jenis tambang, tetamu boleh menempah pelbagai penerbangan bagi perjalanan yang sama.

Pilihan tempahan yang telah melalui fasa perintis sejak Ogos lalu, mula menawarkan pelanggan tawaran lebih menarik dan fleksibiliti untuk perancangan perjalanan mereka ke pelbagai destinasi mulai 4 Disember 2014.

Ia turut meliputi tempahan bagi Kelas Bisnes dan Premium Flex untuk perjalanan sehala dan “fly-thru” melalui pilihan tempahan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani berkata, perkhidmatan itu membolehkan pelanggan untuk menempah pelbagai destinasi, mengambil peluang hentian perjalanan dan destinasi persinggahan hanya dalam satu tempahan.

“Ia akan memudahkan mereka menguruskan perancangan perjalanan mereka memandangkan ia membolehkan mereka tiba atau berlepas dari lapangan terbang berbeza melalui rangkaian destinasi yang luas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Disember 2014 @ 5:01 AM