Kuala Lumpur: Pelumba negara meningkat Mohd Ramdan Mohd Rosli bakal membuat penampilan pertama pada saingan Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila diberi peluang beraksi menerusi tiket wild card di Grand Prix (GP) Catalan di Litar Catalunya, Sepanyol pada 12 hingga 14 Jun.

Beraksi bersama pasukan PETRONAS AHM Malaysia, ia juga penampilan kedua Ramdan pada pentas berprestij itu selepas membuat penampilan pertama menerusi tiket wild card dalam kelas Moto3 di Grand Prix Malaysia, tahun lalu.

Ramdan yang kini beraksi di Kejuaraan Moto2 Eropah berkata, dia sememangnya menanti peluang keemasan itu.

“Terima kasih kepada pasukan kerana membuat perancangan dan permohonan untuk aksi wild card di Catalunya. Kami ada bercakap mengenai peluang ini sebelum Kejuaraan Eropah bermula di Portimao dan semua yakin dan positif dengan permohonan itu.

“Kami mempunyai tempoh ujian dua hari di Catalunya awal Jun ini. Pada masa sama, saya harap dapat mengekalkan momentum beraksi di GP dan Kejuaraan Eropah pada minggu berikutnya.

“Saya sedar perlumbaan ini mencabar, tambahan pula ini aksi kedua saya dalam kategori Moto2. Namun saya harap dapat menimba pengalaman berguna sebanyak mungkin melalui peluang yang diberikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 9:43 AM