Oleh Shakilawati Abd Rahman


Bermula dari pentas modeling, akhirnya impian Sarah Hildebrand, 25, bergelar pelakon menjadi kenyataan apabila dipilih menjayakan dua telefilem raya arahan sutradara terkenal, Rashid Sibir.

Segala usaha dan penat lelahnya berbaloi apabila ada pihak nampak bakatnya lalu memberi peluang. Lebih menarik, belum pun dua karya itu ditayangkan, Sarah dilamar beraksi dalam teater Y Sebuah Muzikal yang akan dipentaskan di Istana Budaya sempena sambutan Jubli Emas Gerakan Belia 4B Malaysia pada Ogos depan.

Tawaran itu sudah semestinya ibarat bulan jatuh ke riba bagi pendatang baru sepertinya. Terasa seakan-akan bermimpi dia antara selebriti bertuah terpilih terbabit dalam projek besar itu bersama Arja Lee, Fathia Latif dan Aiman Hakim Redza.

Kata Sarah, pembabitannya dalam bidang lakonan bukan suka-suka atau mahu mengejar glamor sebaliknya kerana minat.

“Saya memang minat berlakon dan ia akan menjadi sumber pendapatan saya selain peragaan. Lama saya menanti peluang hinggalah dipanggil abang Rashid. Telefilem arahannya, Hujan Padi dan Jalan Singkat ke Syurga jadi salam perkenalan sebelum saya melangkah lebih serius.

“Belum pun telefilem itu ditayangkan, saya dapat peluang pula berlakon di pentas teater. Tawaran begini jarang datang kepada pelakon baru seperti saya. Biasanya produksi memilih mereka yang ada skil lakonan yang bagus,” katanya.

Meskipun gembira dan teruja dengan rezeki tidak dijangka itu, Sarah akui terselit rasa gusar kerana amanah digalas bukan mudah.

Sarah sedar dia tiada didikan formal seni lakon, pengalaman yang diperolehi di lokasi penggambaran dua telefilem terdahulu belum cukup kuat untuk membantunya beraksi di pentas teater.

“Nama saya mungkin sudah dikenali dalam arena peragaan, namun untuk bidang lakonan, saya bukan sesiapa. Kalau tengok saya, orang mungkin ingat pernah tengok saya dalam majalah atau program Gadis M2 malah tidak mustahil ada yang langsung tak kenal.

“Justeru, saya kena bekerja lebih keras dan buktikan saya boleh berlakon. Saya mahu cipta nama sepertimana pelakon hebat sedia ada dan untuk capai sasaran itu, banyak yang perlu saya belajar.

“Harap teater ini dapat menjadi batu loncatan kepada saya untuk pergi lebih jauh dalam bidang lakonan,” katanya.

Sarah turut menzahirkan rasa bertuah apabila digandingkan dengan Arja Lee yang sudah banyak menjayakan pementasan teater dan diakui ramai keberkesanan lakonannya.

“Saya sudah bertemu Arja dan menyatakan hasrat mahu berguru dengannya. Walaupun sudah ada nama dan skil penguasaan pentas yang hebat, dia tidak pernah meletakkan jurang antara kami. Dia layan saya dengan baik dan sudi menurunkan ilmu.

“Kami akan mula berlatih awal bulan depan dan saya akan kaut sebanyak mungkin ilmu daripadanya. Mudah-mudahan ia dapat jadi panduan dan boleh diguna pakai dalam projek saya selepas ini,” katanya.

Memulakan karier sebagai model pada 2009, Sarah turut mempamerkan skil nyanyian dan tarian menerusi pementasan itu.

Katanya, biarpun biasa menyanyi dan menari, skil itu perlu diperkemaskan lagi agar tiada cacat cela dalam persembahannya nanti.

Dalam teater Y Sebuah Muzikal, Sarah memegang watak Maya, pembantu Jelita lakonan Fathia yang dalam diam turut menyimpan perasaan terhadap Haikal (Aiman Hakim) yang menyukai Jelita.

Kata Sarah, apa yang menarik mengenai wataknya ini ialah Maya gadis yang baik tetapi berubah menjadi jahat selepas mengetahui lelaki disukainya mencintai orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:01 AM