TERUJA apabila dipilih jayakan pementasan Y Sebuah Muzikal.
TERUJA apabila dipilih jayakan pementasan Y Sebuah Muzikal.
Oleh Shakilawati Abd Rahman


Kemampuan Arja Lee ber­aksi di pentas teater tidak perlu dipertikaikan lagi. Pelakon yang mula dikenali menerusi filem .... Dalam Botol ini membuktikan kemampuannya menerusi teater Mahsuri, The Kaki Blue Muzikal, Muzikal Kenangan Mengusik Jiwa 60-an (KMJ 60-an), Dewa Indera Indera Dewa dan Putera Cahaya Bulan.

Pendek kata, nama Arja sebati dengan teater, bahkan anak jati Kuala Lumpur ini akui, jiwanya dekat de­ngan pementasan muzikal.

Katanya, andai ada tawaran menjayakan muzikal tidak kira watak utama atau sampingan, dia pasti bersetuju jika jalan cerita bagus.

Terbaru, Arja atau Azharudin Ram­li teruja apabila terpilih menjadi sebahagian daripada keluarga pementasan Y Sebuah Muzikal yang turut dibintangi Aiman Hakim Ridza, Nur Fathia dan Sarah Hildebrand.

“Saya dapat tahu mengenai pementasan muzikal ketika menghadiri majlis pelancaran Kalendar Acara Istana Budaya 2015 dan tidak sangka dapat menjayakan satu watak penting.

“Syukur sekali lagi saya dapat beraksi di pentas berprestij Istana Budaya. Ketika ditawarkan ber­aksi dalam Y Sebuah Muzikal, saya sangat teruja.

“Saya memang pencinta muzikal. Jika diberi pilihan antara teater dan muzikal, saya akan pilih muzikal. Apatah lagi dalam pementasan kali ini saya berganding dengan ramai nama

besar seperti Aiman, Fathia dan Sarah.

“Walaupun Sarah baru dalam dunia lakonan, dia sudah lama dalam dunia peragaan. Tak sabar-sabar rasanya nak berlatih bersama. Difahamkan, sesi latihan akan bermula pertengahan Jun depan,” katanya ketika di temui di IB, baru-baru ini.

Diterbitkan Belbis Sdn Bhd dan Gerakan Belia 4B Malaysia dengan kerjasama Istana Budaya, Y Sebuah Muzikal bakal diarahkan oleh Khairunazwan

Rodzy.

Kata Arja, sebelum ini dia pernah bekerja dengan Belbis ketika pementasan Kenangan Mengusik Jiwa 60-an. Bezanya tenaga kerja yang terbabit dalam Y Sebuah Muzikal lebih ramai.

Apa yang membuatkan Arja teruja kerana ilham asal dari

Gerakan Belia 4B Malaysia dan penganjurannya bertujuan membuka minda dan hati remaja

untuk lebih mengenali persatuan itu.

Pementasan berlangsung pada 22 hingga 30 Ogos depan juga di­adakan sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun Gerakan Belia 4B Malaysia, Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Tak ramai remaja masa kini tahu apa itu Belia 4B dan sejarahnya. Menerusi muzikal ini, kita ketengahkan penceritaan yang menggabungkan fiksyen dan sejarah.

“Saya percaya muzikal ini dapat membuka hati remaja untuk mendekati persatuan ini, seterusnya menyertai apa saja program dianjurkan, malah rasa cintakan negara juga akan bertambah. Mereka akan tahu persatuan ini melahirkan ramai pemimpin hebat negara,” katanya.

Bakal menggalas watak antagonis, Arja akui watak kali ini sangat menarik. Dia menjadi pemaju yang cuba memecah-belahkan keharmonian penduduk sebuah kampung demi mengaut keuntungan. Di depan penduduk dia berlagak baik, namun dia sebenarnya gunting

dalam lipatan.

“Ini kali kedua saya bawa watak antagonis dalam persembahan muzikal. Permainan saya lebih besar di mana kejahatan mung­kin akan nampak melalui dialog, koreografi, nyanyian, memek muka atau pergerakan tubuh.

“Walaupun cabaran kali ini besar, saya akan ber­usaha menjayakan watak ini sebaik mungkin,” katanya.

Selain persiapan untuk pementasan ini, Arja sibuk dengan penggambaran filem Sayu Yang Syukur arahan Aaron Aziz sejak minggu lalu.

Menerusi karya kedua Aaron ini, dia memegang watak pakar motivasi. Katanya, watak itu menjadi penyebab utama mengapa dia menerima tawaran itu.

“Dalam kehidupan sebenar, saya mula memenuhi undangan pelbagai pihak, terutama pusat pengajian tinggi, untuk memberi ceramah motivasi.

“Saya mahu jadi contoh baik kepada masyarakat dan kerana itu apabila dapat watak ini, saya terus terima. Lagipun skripnya bagus, malah barisan pelakon pun hebat-hebat belaka.

“Ia dijayakan Aaron dan Nora Danish. Mereka masuk lokasi sejak minggu lalu dan saya pula beberapa hari lagi,” katanya.

Arja juga kini semakin rancak mengembangkan perniagaan biskut dan bakal melancarkan sekolah seni, Arja Arts Academy yang dijangka beroperasi tidak lama lagi, selain bakal memperkenalkan jenama fesyen lelaki, AL Style hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:06 AM