SASQIA.
SASQIA.
Oleh Ardini Sophia Sina


Umpama impian jadi nyata. Itu antara luahan hati pelakon Sasqia Dahuri menceritakan peluang memegang watak antagonis dalam drama Cik Bunga Encik Sombong.

Masih menjalani penggambaran, Sasqia akui teruja menceritakan pengalaman memegang karakter berkenaan. Katanya, bukan tidak pernah membawa watak jahat sebelum ini tetapi peranan diberi kali ini lebih besar.

“Sebelum ini saya menimba sedikit ilmu cara menzahirkan karakter itu dalam siri Dendam Semalam dan Ayuni Safira. Saya belum puas dan masih banyak yang perlu diteroka bagi menjiwai watak itu.

“Dalam Ayuni Safira memang saya pegang watak jahat, tapi masih ada kebaikan dalam diri karakter itu. Dia jadi jahat sebab ada orang menjadi batu api, tapi ada masanya karakter itu sendiri sebenarnya tidak sampai hati.

“Dalam Cik Bunga Encik Sombong pula, watak Erni Humaira sememangnya sangat jahat. Dia anak orang kaya yang manja dan sanggup buat semua perkara asalkan dia dapat apa yang dia inginkan.

“Secara peribadi, watak antagonis membuatkan saya lebih kreatif. Ia lebih terbuka dan banyak ruang kita boleh terokai. Terlalu luas ruang lingkup untuk kita betul-betul penuhi karakter itu. Kalau watak baik, statik begitu saja,” katanya.

Kata Sasqia, perbezaan latar belakang juga membuatkan sikap jahat seseorang itu berbeza. Contohnya, orang kaya mempunyai sikap jahat berbeza dengan kelas bawahan baik dari segi percakapan, cara menjerit mahu pun menzahirkan kebencian mereka. Itu semua perlu dipelajari supaya karakter itu berbeza mengikut keadaan satu-satu watak.

Sasqia atau Nurlisasqia Dahuri akui rasa bertuah kerana peluang itu datang tidak lama selepas kembali aktif dalam lakonan, tahun lalu.

Katanya, dia tidak kisah andai selepas ini lebih banyak tawaran yang memerlukannya membawa watak antagonis.

“Saya sangat meminati bidang lakonan. Dulu saya pernah berlakon dalam Senario Ops Pocot dan beberapa drama tetapi orang tidak menyedari kehadiran saya ketika itu. Saya juga berundur seketika dari dunia seni kerana berasa belum cukup bersedia berdepan kehidupan sebagai artis.

“Apabila saya kembali, saya tidak kisah andai terus diberi watak jahat. Bagi saya, ini peluang untuk membuka mata penonton yang saya boleh berlakon.

“Saya juga beranggapan sebaik melangkah masuk ke dalam industri, saya tidak mempunyai hak untuk menentukan watak yang saya perlu lakonkan,” katanya.

Kata Sasqia, lakonan adalah periuk nasinya dan sedar bukan mudah untuk mencari tapak bergelar pelakon.

“Ramai yang terdesak mahu menjadi pelakon. Mereka sanggup menjadi ekstra dengan bayaran sedikit sedangkan harus menunggu dari pagi hingga tengah malam. Kalau saya menolak tawaran, itu maknanya saya menolak rezeki,” katanya.

Sasqia akui sepanjang perjalanan kariernya pasti ada peluang yang ditolak. Cuma dia akan pastikan penolakan itu bukan disebabkan sikap memilih, tetapi alasan munasabah.

Katanya, selagi dia mampu menerima tawaran dan tidak menjejaskan jadualnya, tidak ada masalah baginya. Peluang untuk aktif semula adalah permulaan baru yang harus dijaga dengan baik. Bila-bila saja pendatang baru boleh mengambil tempatnya dalam industri.

Selepas berlakon dalam Manis, ada yang mula perasan kehadirannya dalam industri, namun semuanya semakin ketara selepas membintangi drama Dendam Semalam. Dia melihat peningkatan pengikut di laman sosial sama ada Facebook mahupun Instagram.

“Syukur kerana orang mula menyedari saya ini pelakon. Itu menandakan mereka dapat menerima kehadiran saya dalam industri. Saya tidak akan berhenti setakat ini saja. Masih banyak yang perlu saya pelajari.

“Sememangnya saya menyedari ada peningkatan pengikut di Facebook dan Instagram. Jumlah pe­ngikut semakin bertambah selepas Dendam Semalam.

“Ketika berlakon dalam Manis, mereka mungkin tahu karakter saya tapi sebab dalam drama itu saya bertudung, tidaklah mereka cam,” katanya.

Sasqia juga tidak terlalu mengharapkan diberi watak besar setiap kali berlakon. Apa yang diharapkan supaya karakter itu meninggalkan kesan dalam hati penonton.

Dia juga bersedia menerima tawaran berlakon teater. Walaupun ada segelintir mengatakan bayaran tidak setimpal dengan penat lelah, semua itu tidak menghalang Sasqia untuk terus mencuba.

“Saya tidak kisah andai berlakon dalam beberapa babak saja.

Cukup orang sedar saya ada dalam industri. Saya juga sedia berlakon teater. Semua itu adalah proses pembelajaran dan membantu dalam meningkatkan mutu lakonan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:01 AM