SASQIA menyerlah menerusi watak antagonis.
SASQIA menyerlah menerusi watak antagonis.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Siapa sangka bintang Nurlisasqia Dahuri atau Sasqia, 30, baru kini bersinar.

Tidak mudah putus asa dalam seni, Sasqia kini mula mencuri tumpuan menerusi watak Erni Humaira dalam drama bersiri Cik Bunga Encik Sombong.

Ketika menuntut dalam jurusan Pengurusan Pemasaran di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) pada 2010, pelakon berdarah campuran Melayu, Thailand dan Pakistan ini banyak terbabit dalam bidang peragaan.

Rezekinya tiba apabila ditawarkan berlakon dalam filem Adnan Sempit The Series dan Senario The Movie Ops Pocot.

“Saya menyertai bidang peragaan atas desakan kawan kerana fizikal saya kurus dan tinggi lampai.

“Belum cukup tempoh itu, saya mengundur diri dari bidang seni kerana berdepan masalah berat badan. Awalnya saya kurus, tapi entah bagaimana berat naik mendadak mencecah 70 kilogram.

“Ia membuatkan saya rendah diri dan ambil keputusan mencantikkan semula fizikal. Saya ikuti kelas kecergasan dan berjaya mendapatkan apa yang dihajati,” katanya yang kini memiliki berat 57 kilogram.

Sasqia berkata, ketika itu dia tidak mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan, sebaliknya tercabar dengan kehadiran ramai muka baru yang masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.

Berganding dengan Amyra Rosli

Agak lama berehat, Sasqia tampil semula menerusi drama bersiri Manis, namun kehadirannya kurang disedari peminat.

Rezeki mula menyebelahinya apabila ditawarkan membawa watak antagonis dalam drama bersiri Ayuni Safira dan Cik Bunga Encik Sombong.

“Sebelum ini saya hanya diberikan watak biasa, tapi dalam Ayuni Safira, saya mula diberikan watak jahat. Bagaimanapun masih ada keseimbangan kerana jahat itu berpunca daripada orang lain yang menjadi batu api.

“Sebagai Erni Humaira pula, memang saya jadi seorang yang sangat jahat. Apatah lagi dia seorang anak orang kaya yang manja dan sering dapat setiap yang dihajati.

“Saya turut beruntung kerana digandingkan berlakon dengan Amyra Rosli, Amar Baharin dan Jasmin Hamid. Memang seronok berlakon dengan Jasmin kerana dia tak kedekut ilmu lakonan,” katanya.

Sasqia berkata, drama berkenaan berjaya membuatkan dia dikenali bukan saja di Malaysia tetapi juga Singapura.

“Mereka begitu menyokong kerjaya saya yang dianggap baru bermula,” katanya.

Turut menyerlah menerusi drama Mencintaimu, Sasqia kini sibuk di lokasi penggambaran drama Dhia Sofea yang sekali lagi menemukannya dengan Amyra Rosli untuk slot Samarinda TV3.

“Sekali lagi saya diberikan watak jahat sebagai Tina. Tak sangka kali ini saya berlakon lagi dengan Amyra.

“Apapun saya bersyukur kerana pengorbanan saya dalam bidang seni tak sia-sia. Sehingga kini saya masih kekal aktif terbabit dalam sukan badminton, ‘hiking’ dan komuniti sukan sebagai cara untuk mengekalkan berat badan yang ideal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:00 AM