MISTERI Dilaila yang bakal ditayangkan 21 Februari ini.
MISTERI Dilaila yang bakal ditayangkan 21 Februari ini.
Amirul Haswendy Ashari

DUA figura ini berkongsi keterujaan, yakni dapat bekerja di bawah arahan pengarah muda berbakat besar, Syafiq Yusof.

Malah, bagi Sasqia Dahuri dan Elizabeth Tan atau Lizzy, filem Misteri Dilaila yang bakal ditayangkan 21 Februari ini adalah peluang mereka menyerlahkan bakat masing-masing.

“Saya sangat suka dengan peluang ini sebab sudah lama nak buat aksi. Bagi saya, ia sangat menarik dan penuh misteri.

“Menariknya, saya boleh bermain dengan karakter Dilaila kerana sebelum ini penonton hanya nampak saya berlakon jahat saja.

“Dalam karakter ini, saya boleh bermain dengan perwatakan psiko, hipokrit dan berpura-pura, semuanya dalam satu,” kata Sasqia.

Akuinya, dia sudah melakukan yang terbaik dan beruntung serta berpuas hati kerana dapat menonjolkan sisi profesional dengan memberi ruang kepada penonton untuk menentukan.

Tanpa berselindung, pelakon yang turut dikenali melalui drama Misteri Wan Peah dan Jurnal Suraya berasakan filem itu adalah masa untuk dia bersinar.

“Saya tidak pernah merungut dengan apa yang saya dapat. Yang penting adalah kekal dengan cara kerja berkualiti kerana ini adalah tempat saya bekerja.

“Jika benar filem ini membuatkan saya bersinar, saya bersyukur kerana mendapat watak yang ‘versatile’ dan penonton boleh melihat sendiri,” katanya.

Bercakap mengenai cabaran, Sasqia berkata, aksi dalam filem itu perlu dibuat sebaik mungkin untuk nampak realistik.

SASQIA Dahuri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
SASQIA Dahuri. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Katanya, apabila melakukan watak sebegitu, dia kena memastikan ‘momen’ itu sampai dan nampak ‘kuat’.

Untuk itu, dia belajar dan berlatih berulang kali supaya tidak nampak kekok kerana jika tidak, ‘momen’ itu tidak sampai kepada penonton.

Apatah lagi, dia mendakwa Syafiq seorang pengarah terperinci dan mahu melihat setiap elemen yang ada dalam babak betul-betul menyerlah di layar.

Disebabkan itu, Sasqia mendedahkan ada beberapa babak perlu dilakukan berulang kali terutama ketika perlu ‘menumbangkan’ Zul Ariffin sambil menekup mulut dengan kain.

“Mula-mula buat rasa macam kasihan tapi Syafiq kata dalam kamera tidak nampak cantik dan lembik. Zul pun sangat profesional dan suruh saya buat betul-betul, jadi saya berusaha buat.

“Pada awal saya ingatkan sudah cukup kuat tapi pengarah suruh buat lagi sampai jadi,” katanya.

Sasqia turut mengulas watak nama sama dengan Elizabeth dalam Misteri Dilaila.

Katanya, dia yakin penampilannya akan tetap disedari walaupun digandingkan dengan penyanyi serta pelakon yang namanya semakin ‘hangat di pasaran’.

“Saya tidak pernah takut siapa akan membayangi siapa sebab sudah memberikan kualiti terbaik. Paling penting, ini adalah cara saya yang tidak boleh dibandingkan dengan sesiapa,” katanya.

Dalam pada itu, Elizabeth atau mesra disapa Lizzy, mengakui menerima tawaran berlakon filem Misteri Dilaila kerana dapat bekerja di bawah Skop Production dan Astro Shaw. Katanya, wataknya tidak berat cuma dia tidak suka menonton cerita hantu.

Namun begitu, dia mendapat bantuan daripada pengarah dan kru lain dalam membawa watak sebagai Dilaila.

ELIZABETH Tan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ELIZABETH Tan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Lizzy berkata, selepas menonton lakonannya pada malam tayangan filem itu minggu lalu, dia mengakui boleh buat dengan lebih baik.

“Bekerja dengan Syafiq, dia yang yakinkan saya boleh buat,” katanya.

Tak sedar rupa dan fizikal hampir sama

Bagi peminat yang bakal menonton filem thriller seram terbaru ini, pasti beranggapan persamaan fizikal dan rupa paras antara Sasqia dan Lizzy yang memegang watak Dilaila adalah dirancang.

Menurut mereka, ketika berada di set penggambaran, baru mereka sedar ada persamaan itu.

Sasqia berkata, segalanya berlaku secara kebetulan dan dia diberitahu oleh Syafiq pemilihannya adalah kerana faktor ketinggian yang dimiliki setanding dengan Zul Ariffin.

Syafiq pula mendakwa pemilihan Lizzy kerana selebriti itu memiliki tarikan di segi peminat pelbagai bangsa.

Memetik kenyataan Syafiq selepas sesi tayangan perdana filem itu pada Khamis minggu lalu, dia mengakui tiada perancangan pun untuk menjadikan mereka serupa.

“Tak rancang pun tapi masa penggambaran, baru sedar muka mereka hampir sama. Sasqia dipilih sebab dia ada ketinggian yang sesuai kerana akan ada babak aksi dengan Zul.

“Lizzy pula, saya ambil konsep wajah baru. Saya nampak dia ada potensi peminat berbilang kaum, tambahan pernah tengok dia berlakon dalam drama terbitan Skop Production,

“Ditambah pula boleh menyanyi dan lagu runut filem ini dia yang nyanyikan,” katanya.

Misteri Dilaila ialah karya kelapan Syafiq terbitan bersama Skop Production dan Astro Shaw.

Selain Sasqia, Lizzy dan Zul Ariffin, filem itu turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Nam Ron, Mas Khan dan Kenji Sawahi.

Ia bakal ditayangkan di 131 pawagam seluruh Malaysia dan selepas tiga minggu akan ditayangkan di lebih 100 pawagam di Jakarta serta seluruh Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Februari 2019 @ 6:31 AM