London: Pengurus Burnley, Sean Dyche mencabar pemainnya supaya memuncak seperti Lionel Messi apabila mereka berdepan kelab bermasalah Hull pada perlawanan yang boleh memastikan nasib mereka mengelak tersingkir daripada Liga Perdana.

Pasukan Dyche yang menghuni tangga tercorot berkunjung ke Stadium KC lapan mata di belakang pasukan keempat terbawah Hull dengan berbaki tiga perlawanan dan sedar jika kalah mereka pasti tersingkir.

Clarets kalah empat perlawanan terakhir mereka dan jika menumpaskan Hull sekalipun, mereka masih perlu menang dua perlawanan terakhir menentang Stoke dan Aston Villa untuk mengelak kembali ke Liga Kejuaraan 12 bulan selepas naik divisyen.

Burnley turut merakam rekod kelab 569 minit tanpa sebarang gol pada liga utama, mengatasi rekod lama 565 minit dilakar pada awal musim ini.

Namun di sebalik keadaan itu, Dyche tidak berputus asa untuk kekal dalam Liga Perdana dan mahukan pemainnya meraih inspirasi daripada cara penyerang Barcelona, Messi yang menyumbat dua gol ketika menang 3-0 ke atas Bayern Munich pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, awal pagi kelmarin.

“Kualiti memang ada, saya percaya dengan semua pemain, ia hanya menanti saat untuk menyerlah tepat pada masanya,” kata Dyche.

“Anda tahu pemain yang bertindak baik di Sepanyol? Dia (Messi) memiliki beberapa saat seperti itu, apabila dia bersedia untuk mempamerkan kualitinya (menentang Bayern).

“Tahun ini tugas yang lebih sukar tapi pendekatan kami tetap sama iaitu untuk menang.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:17 AM