Penyerang Burnley, Chris Wood menjaringkan gol kemenangan pasukannya menentang Crystal Palace. FOTO AFP
Penyerang Burnley, Chris Wood menjaringkan gol kemenangan pasukannya menentang Crystal Palace. FOTO AFP
AFP

London: Burnley menang buat pertama kali dalam saingan Liga Perdana musim ini ketika Chris Wood mengesahkan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace, manakala Southampton terlepas peluang untuk melonjak ke tempat ketiga selepas seri 1-1 di Wolves.

Burnley gagal menang dalam tujuh perlawanan mereka untuk mencatat permulaan buruk semusim dalam sejarah kelab itu.

Skuad kendalian Sean Dyche pasukan tunggal Liga Perdana yang belum menjaringkan gol di laman sendiri musim ini sehingga penyerang New Zealand, Wood meletakkan mereka di depan pada babak pertama menentang Palace.

Jaringan itu sudah memadai untuk memungut tiga mata buat Burnley, yang berjaya keluar dari zon penyingkiran mengatasi Fulham.

"Kami mencipta dua atau tiga peluang terbaik, kami memanfaatkan satu dan ia agak cemas kerana kami belum mencatat kemenangan pertama. Untuk melaksanakannya adalah cukup baik untuk kami," kata Dyche.

"Kami mempunyai pasukan yang mampu mencabar. Kami mempunyai permulaan yang sukar namun ia semakin baik."

Palace tanpa kelibat penyerang Ivory Coast, Wilfried Zaha yang diuji positif Covid-19 dan skuad kendalian Roy Hodgson dilihat terkesan tanpa ketiadaan pemain tonggak itu.

Theo Walcott (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Perdana pagi ini. FOTO Agensi
Theo Walcott (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Liga Perdana pagi ini. FOTO Agensi

Sementara di Molineux, Southampton tampak berada di landasan tepat untuk mencatat kemenangan keempat berturut-turut apabila Theo Walcott meletakkan mereka di depan pada babak kedua.

Namun Pedro Neto yang dimasukkan dari bangku simpanan pemain berjaya menyamakan kedudukan ketika pasukan di tangga kelima Southampton meneruskan aksi tanpa kalah dalam tujuh perlawanan.

"Saya gembira. Ia adalah perlawanan yang sukar, memerlukan taktikal yang tinggi, ia seperti bermain catur. Mereka beraksi 4-3-3, kami tidak menyangka perkara itu tetapi kami menemui jawapannya," kata pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 7:40 AM