ACARA cuci tangan kanak-kanak paling ramai pupuk tabiat jaga kesihatan.
ACARA cuci tangan kanak-kanak paling ramai pupuk tabiat jaga kesihatan.
Zaitie Satibi


Malaysia mencatatkan peningkatan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) dengan lebih 23,000 kes dilaporkan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun lalu. Meskipun orang dewasa dan kanak-kanak terdedah kepada penyakit terbabit, namun kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah adalah golongan yang lebih mudah dijangkiti kerana kekurangan keimunan terhadap virus.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut melaporkan peningkatan kes HFMD di Malaysia, di samping lain-lain kes berkaitan influenza di sekitar Asia Tenggara dari awal tahun ini hingga 20 Ogos lalu.

Oleh itu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesyorkan cara dan langkah mencuci tangan yang betul bagi memastikan orang ramai terutama kanak-kanak dilindungi daripada sebarang ancaman wabak penyakit.

Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Chong Chee Kheong berkata, tabiat mencuci tangan sebagai perlindungan terhadap infeksi adalah langkah tepat terutama ketika musim selesema tahunan yang memuncak di negara tropika seperti Malaysia. Virus selesema tersebar sepanjang tahun, namun peningkatan kes influenza lazimnya berlaku antara April hingga Julai dan November hingga Januari.

“Tabiat mencuci tangan adalah langkah terbaik untuk melindungi diri daripada jangkitan virus dan bakteria memandangkan hampir 80 peratus penyakit berjangkit merebak melalui sentuhan.

“Justeru, kita wajar mendidik kanak-kanak cara dan langkah yang betul untuk mencuci tangan supaya mereka menanam tabiat mengutamakan kebersihan diri dan sekali gus menghindari jangkitan,” katanya merasmikan acara membasuh tangan beramai-ramai melalui kaedah dan langkah betul anjuran pencuci antiseptik Betadine oleh Mundipharma Pharmaceuticals Sdn Bhd sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia.

Dalam acara berkenaan, Betadine bersama rakan kerjasama Stickman melakar rekod baru dalam Buku Rekod Malaysia untuk himpunan terbesar kanak-kanak mencuci tangan dengan cara yang betul. Seramai 2,000 kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun terdiri murid tadika, sekolah rendah dan kanak-kanak rumah anak yatim dari seluruh negara menyertai cubaan memecah rekod itu.

Pengurus Besar Serantau Mundipharma Asia Tenggara, Suresh Pragasam berkata, pihaknya turut merancang mengembangkan inisiatif ini ke kawasan lain untuk mendidik lebih ramai orang mengenai gejala awal HFMD dan influenza serta cara mencegahnya.

“Pencucian tangan yang berkesan melalui pembersih kulit antiseptik terbukti secara saintifik keupayaannya untuk membunuh bakteria, kulat dan virus yang membawa jangkitan serta menawarkan lebih pencegahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 9:08 AM