PENYAKIT HFMD boleh berjangkit melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis pesakit. FOTO arkib NSTP
PENYAKIT HFMD boleh berjangkit melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis pesakit. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan rumah asuhan wajar ditutup sekiranya terdapat kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di premis itu.

Pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, penutupan premis itu bagi membolehkan proses sanitasi premis dijalankan.

Ini kerana, katanya, seperti Covid-19, jangkitan HFMD juga boleh menular melalui kontak atau sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis pesakit.

"Oleh itu penjagaan kebersihan termasuk melakukan nyahkuman sangatlah penting bagi memastikan kebersihan sesuatu persekitaran yang berkenaan khususnya di tempat sering disentuh.

"Murid yang sudah terkena jangkitan perlu diasingkan dari sekolah atau dinasihatkan tidak menerima murid yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD," katanya.

Beliau mengulas data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak awal tahun ini hingga kelmarin yang menunjukkan kes HFMD mencatatkan peningkatan apabila merekodkan sebanyak 28,957 kes di seluruh negara pada minggu epid ke-19 dan secara perbandingan untuk keseluruhan tahun lalu hanya 4,239 kes.

Sehubungan itu Dr Sazaly turut menasihatkan ibu bapa meningkatkan lagi tahap kebersihan khususnya tangan kepada seluruh ahli keluarga.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata, KKM sudah menjangkakan peningkatan kes HFMD akan berlaku apabila sektor pendidikan dibuka dan kanak-kanak kembali ke sekolah, tadika dan taska.

Menurutnya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akan menentukan sama ada terdapat keperluan menutup sesebuah taska dan tadika susulan peningkatan kes HFMD ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 11:17 AM