Kuala Lumpur: Maxis Berhad melakar sejarah baru apabila buat pertama kalinya sejak 2010 mencatatkan perolehan perkhidmatan RM2.13 bilion bagi suku pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Morten Lundal berkata kejayaan itu dilihat daripada kesan transformasi syarikat dan perolehan itu meningkat 1.6 peratus dari suku keempat 2014, sekali gus menyaksikan Maxis menambah 328,000 pelanggan.

Katanya, dengan pemodenan rangkaian Maxis dan pengembangan LTE mencapai peningkatan ketara dalam pengalaman pelanggan serta memacu penggunaan data dan Maxis kini mempunyai sembilan juta pengguna Internet mudah alih, manakala penembusan telefon pintar berada pada 57 peratus suku berkenaan.

“Ini adalah satu pemulihan kukuh untuk segmen prabayar kami. Kami kini mencatatkan pertumbuhan empat suku berturut-turut dalam perolehan dan pelanggan prabayar.

“Kami melihat peralihan positif dalam segmen pascabayar yang mana hasil pascabayar mengalami impak berikutan langkah diambil untuk mengelakkan sebarang kejutan bil dengan Maxis. Selain itu, kami mempunyai hasil perayauan bermusim pada suku keempat 2014,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, Maxis selesa dengan penurunan bersih yang marginal dan pelan MaxisOne kini berada dalam keadaan yang baik bagi pelanggan serta Maxis.

Beliau berkata, trafik data Maxis juga dijangka berkembang lebih lima kali dalam dalam tempoh tiga tahun akan datang dan untuk itu pihaknya akan terus membuat pelaburan yang tinggi bagi memberi pengalaman data terbaik kepada pelanggan.

Maxis akan memperuntukkan perbelanjaan modal yang tinggi bagi 2015 iaitu melebihi RM1.1 bilion untuk melengkapkan pemodenan rangkaiannya, memacu pengembangan 4G LTE, serta meningkatkan kapasiti dan kualiti.

Bagi pendapatan dan keuntungan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda), Maxis mencatatkan RM1.05 bilion dan margin 48.7 peratus dan suku pertama ini, Maxis turut merekodkan keuntungan RM455 juta lebih tingga daripada RM419 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 7:20 AM