BERNAMA

Kuala Lumpur: Keuntungan bersih Maxis Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2016 naik kepada RM484 juta berbanding RM482 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Syarikat telekomunikasi itu berkata, keuntungan bersih yang lebih tinggi selepas pelarasan bagi susut nilai dipercepatkan disebabkan pemodenan rangkaian.

Perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), tidak termasuk impak pertukaran asing tidak direalisasikan, meningkat 6.7 peratus kepada RM1.156 bilion berbanding RM1.083 bilion sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Morten Lundal, berkata Maxis gembira dengan prestasi MaxisONE yang menghampiri satu juta pelanggan.

"Kami juga bangga dengan rangkaian LTE kami yang meluas dan menjadi peneraju dalam industri, mencecah lebih 74 peratus daripada penduduk Malaysia, didorong peningkatan ketara dalam penembusan peranti 4G dalam asas pelanggan kami," katanya.

Maxis berkata perolehan perkhidmatan bagi suku tersebut berjumlah RM2.127 bilion berbanding RM2.126 bilion tahun lalu, disokong pelanggan dengan Purata Hasil Setiap Pengguna (ARPU) yang tinggi.

Perolehan pascabayar meningkat 2.3 peratus kepada RM994 juta berbanding RM972 juta, dipacu asas yang kukuh melalui ARPU yang tinggi bagi langganan pelan MaxisONE, katanya.

Katanya perolehan prabayar 3.5 peratus lebih rendah iaitu RM1.015 bilion berbanding RM1.052 bilion pada suku pertama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 8:10 PM