MOHD Sukur buktikan golongan OKU mampu beriadah seperti biasa.
MOHD Sukur buktikan golongan OKU mampu beriadah seperti biasa.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


Seri Kembangan: Statusnya orang kurang upaya (OKU) dengan kecacatan anggota pada kedua-dua kaki dan tangan tetapi lelaki ini mampu menawan puncak Bukit Pulau Bohey Dulang, Semporna, Sabah pada ketinggian 600 meter dari paras laut, 3 September lalu.

Mohd Sukur Ibrahim, 31, mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit untuk menamatkan pendakian bersama isteri, Wan Nurul Syazwani Mohd Yen, 27, dan diiringi dua malim gunung.

Lima tahun lalu, Mohd Sukur pernah menawan puncak Bukit Broga, Semenyih dan kehebatan itu menggambarkan sikap sebenar dirinya yang tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai OKU untuk melakukan aktiviti mencabar.

Mohd Sukur berkata, dia tidak menafikan kekurangan diri menyukarkan sedikit pendakiannya terutama apabila melalui laluan mencabar di bukit berkenaan.

“Saya berjalan ketika mendaki tetapi kecacatan pada kedua-dua kaki menyebabkan pergerakan terbatas.

“Jika melintasi laluan mencabar, saya akan merangkak atau diangkat oleh malim gunung,” katanya.

Menurutnya, dia nyaris tidak meneruskan pendakian kerana berputus asa akibat kepenatan melampau dialaminya ketika sampai pada ketinggian 500 meter.

Bagaimanapun, katanya, dia bangkit dan mengambil pendekatan menyuntik semangat sendiri untuk meneruskan perjalanan dan akhirnya berjaya menamatkan pendakian berkenaan.

“Menjejakkan kaki di puncak bukit itu dapat melenyapkan segala kepenatan apabila menyaksikan keindahan kawasan sekitarnya.

“Bukit Pulau Bohey Dulang adalah kawasan bekas letupan gunung berapi yang mempunyai pemandangan cantik seperti Pulau Phi Phi,” katanya.

Menurutnya, aktiviti pendakian bukit atau gunung sebenarnya mempunyai kaitan dengan kiasan realiti sebuah kehidupan yang mana seseorang itu perlu bertahan untuk berjaya.

“Bertahan untuk menamatkan pendakian walaupun dalam kepenatan adalah sebuah kejayaan,” katanya yang bercita-cita menawan Gunung Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 9:47 AM