Anggota bomba mendukung Azrulkhan selepas mengalami hypotonia ketika percubaan menawan Gunung Trusmadi.
Anggota bomba mendukung Azrulkhan selepas mengalami hypotonia ketika percubaan menawan Gunung Trusmadi.
Junaidi Ladjana

[email protected].

Tambunan: Hanya tinggal 242 meter sahaja lagi untuk sampai ke puncak , di sini, namun kekejangan otot menghalang seorang penuntut orang kurang upaya (OKU) menawan Gunung Trusmadi, hari ini.

Azrulkhan Hasrullah, 25, penuntut ijazah Komunikasi Organisasi Universiti Islam Malaysia (UIA) Gombak di Selangor, dikatakan mendaki gunung itu sejak 4 Februari lalu bagaimanapun berjaya sampai pada ketinggian 2,400 meter.

Bagaimanapun pada jam 1 pagi tadi semasa berada di ketinggian berkenaan, Azrulkhan yang bergerak dengan menggunakan tangan kerana tidak mempunyai kaki mengalami hypotonia dan tidak dapat meneruskan pendakian ke puncak.

Susulan itu, kumpulan pengiringnya kemudian menghubungi Jabatan Perhutanan di kawasan berkenaan sebelum meminta bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan.

Ketua BBP Tambunan Ronnie James berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.51 pagi tadi namun bergerak ke lokasi kejadian jam 6 pagi kerana keadaan ketika itu gelap.

"Tujuh anggota dari BBP Tambunan dibantu dengan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa pada ketinggian 2,400 meter.

"Mangsa kemudian dibawa turun dengan anggota bomba mendukungnya secara bergilir-gilir," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mereka selamat tiba di lokasi tempat permulaan pendakian pada jam 4 petang tadi sebelum dibawa ke Hospital Tambunan untuk rawatan lanjut.

"Sebaik tiba di tempat permulaan pendakian mangsa dibawa ke kenderaan bantuan kecemasan (EMRS) untuk dibawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

"Kita difahamkan, mangsa mengalami hypotonia namun keadaannya stabil," katanya.

Tambah Ronnie, operasi itu tamat jam 4.42 petang.

Anak kelahiran Kuching Sarawak itu sebelum ini pernah menjadi perhatian orang ramai susulan kejayaannya mendaki Bukit Broga, Bukit Tabur, Bukit Gasing, Bukit Saga dan Bukit Kutu di Selangor.

Pada 22 Oktober tahun lalu, Azrulkhan berjaya menawan Gunung Kinabalu, selepas mencubanya kali kedua.

Ini cubaan pertama Azrulkhan untuk menawan Gunung Trusmadi yang mempunyai ketinggian 2,642 meter dari aras laut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 9:23 PM