Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my

Semenyih: Seorang lelaki yang terkandas lebih tiga jam di Puncak 2, Bukit Broga, dekat sini, diselamatkan anggota bomba selepas mengalami sesak nafas, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8.16 pagi memaklumkan seorang lelaki berusia 33 tahun terkandas di satu puncak Bukit Broga akibat sesak nafas.

Katanya, anggota bomba mendaki lebih 300 meter untuk sampai ke lokasi terbabit.

“Sebaik sampai ke puncak bukit berkenaan, anggota bomba menemui lelaki itu ditenangkan beberapa pendaki lain. Pemeriksaan mendapati lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun kekurangan tenaga untuk bergerak,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan pengusung untuk membawa lelaki itu turun sebelum diserahkan kepada ambulans untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 8:23 AM