PESERTA  menganyam tikar buluh pada Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014 yang diadakan di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
PESERTA menganyam tikar buluh pada Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman 2014 yang diadakan di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) menyasarkan jualan lebih RM500 juta menerusi program usahawan bimbingannya yang disasarkan meningkat kepada kira-kira 6,000 orang pada tahun depan.

Pengarah Bahagian Usahawannya, Zahir Ahmad berkata, pihaknya optimis mampu mencapai jumlah jualan itu kerana jualan setakat ini ialah RM431 juta iaitu melebihi sasaran ditetapkan pada tahun ini iaitu sebanyak RM382 juta.

"Pada masa ini, kami mendaftarkan seramai 4,635 usahawan sehingga September lalu dan kini giat mengenal pasti kira-kira 4,000 lagi usahawan kraftangan di negara ini yang masih belum mendaftar kerana berdasarkan kajian industri pada 2012 mendapati terdapat kira-kira 8,000 usahawan kraftangan," katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Pada tahun lalu, Kraftangan Malaysia mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM367 juta melalui 3,917 usahawan dan pihaknya menyasarkan pendaftaran kira-kira 1,000 usahawan dalam tempoh setahun bagi membantu usaha kerajaan mencapai jumlah jualan RM1 bilion menjelang 2016 bagi industri kraftangan negara secara keseluruhan.

"Ketika ini, kami berjaya mendaftarkan sebahagian daripada jumlah terbabit dan pihak kami akan terus mengenal pasti usahawan kraftangan selebihnya untuk memastikan sama ada mereka aktif dan layak menerima insentif ditawarkan kami.

"Kami akan berusaha mengenal pasti semua usahawan di bawah kajian terbabit bagi memberi bantuan dan mewujudkan satu rangkaian ekosistem keusahawanan kraftangan yang lebih teratur dan berdaya saing serta mampu menjana kepada ekonomi negara," katanya.

Zahir berkata, pihaknya sentiasa memberikan insentif kepada usahawan dalam bentuk geran untuk pembelian mesin, bengkel dan peralatan di mana jumlah pembiayaan bergantung kepada keupayaan, jualan, cara kerja, komitmen dan kapasiti syarikat terbabit.

Keusahawanan kraftangan di negara ini dibahagikan kepada lima bidang utama iaitu tekstil, hasil rimba, logam, hasil tanah dan aneka kraf. Sektor tekstil dan hasil rimba dikenal pasti sebagai sektor paling banyak menjana keuntungan melalui jualan batik, songket, rotan dan lain-lain.

Berdasarkan data yang dikeluarkan Kraftangan Malaysia, Sabah adalah negeri paling banyak menghasilkan usahawan iaitu kira-kira 1,702 orang diikuti Sarawak (777 usahawan), Terengganu (571 usahawan) dan Kelantan (517 usahawan) sehingga September tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:03 AM