Pelan induk berkaitan penggunaan kenderaan cekap tenaga (EEV) di negara ini dijangka siap paling awal pada hujung tahun ini yang merangkumi pelbagai perkara termasuk polisi, stesen pengecas serta kaedah penggunaan kenderaan terbabit pada masa depan.

Ketua Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Ahmad Hadri Haris berkata, pelan induk terbabit hasil daripada pengenalan Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014) yang diumumkan awal tahun ini.

“Ia berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran EEV menjelang 2020, sekali gus meningkatkan sumbangan industri automotif ke dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Setakat 31 Mei 2014, sebanyak 199 kereta elektrik dan 5,412 kereta hibrid berada di atas jalan raya.

Sasaran nasional ialah sekurang-kurangnya 10 peratus perkongsian pasaran penggunaan kenderaan EEV dalam sektor pengangkutan menjelang tahun 2020.

Hadri berkata, program Cohesive Mobility Solution (COMOS), program khas sewaan dan perkongsian kenderaan elektrik akan ditawarkan kepada orang ramai Ogos depan di Lembah Klang, hasil kerjasama CMS Consortium Sdn Bhd dan Institut Automotif Malaysia (MAI).

“Kita perlu menggerakkan inisiatif mesra alam melalui industri automotif sepantas mungkin, apatah lagi dengan jumlah kenderaan yang kian bertambah di jalan raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:03 AM