TENGKU Zafrul
TENGKU Zafrul

Kerajaan akan memanfaatkan keupayaan negara sebagai antara hab pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) untuk menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada segmen Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) yang berkembang pesat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, antara potensi yang boleh diterokai Malaysia dalam NxGV adalah keseluruhan rantaian nilai yang terdiri daripada semikonduktor, sensor, elektronik automotif, transceiver, bateri dan pemasangan kenderaan.

"Justeru, Malaysia perlu memacu ke arah matlamat yang lebih tinggi dalam aspek penembusan kenderaan elektrik (EV) sebelum pergi lebih jauh dalam segmen NxGV.

"Pasaran EV Asean diramal berkembang hampir 33 peratus setahun kepada AS$2.7 bilion (RM11.77 bilion) menjelang 2027, daripada hampir AS$500 juta pada 2021. Ini bermakna elektrifikasi menjadi lebih penting," katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran Malaysia Autoshow 2023, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua setiausaha Miti Datuk Hanafi Sakri, Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Phang Ah Tong dan Ketua Pegawai Eksekutif MARii Azrul Reza Aziz.

NxGV ialah kenderaan generasi baharu yang menggunakan teknologi internet dan perhubungan bagi menjadikan kenderaan jauh lebih selamat, menjimatkan bahan api dan lebih teratur, sekali gus membolehkan perjalanan semakin pantas.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, 2023 adalah tahun yang menarik untuk mengembangkan industri mobiliti elektrik Malaysia kerana EV telah dikenal pasti sebagai antara penyelesaian teknologi untuk mengurangkan pelepasan karbon.

Katanya, perkara itu telah ditekankan dalam pelbagai dokumen dasar Kerajaan termasuk Dasar Automotif Nasional (NAP 2020), Dasar Pengangkutan Negara dan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon.

"Kerajaan memahami bahawa walaupun kita mempunyai matlamat yang tinggi dalam memperkasakan mobiliti harian kita, cabaran timbul dalam mencapainya - daripada pemilikan, penggunaan, penyelenggaraan, pembuatan EV, apatah lagi pertukaran bateri, pembangunan standard dan juga hayatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 7:01 AM