PELATIH kecergasan Ako Fitness menunjukkan langkah tarian senaman.
PELATIH kecergasan Ako Fitness menunjukkan langkah tarian senaman.
HAMPIR 300 peserta memenuhi dewan Hotel Maya, Kuala Lumpur bagi Zumba Pink Party tahun ini.
HAMPIR 300 peserta memenuhi dewan Hotel Maya, Kuala Lumpur bagi Zumba Pink Party tahun ini.
Oleh Nor Faizah Mohamed

Satu demi satu lagu rancak dimainkan dan peserta seakan-akan enggan berhenti walaupun ramai yang kepenatan. Nyata hayunan kaki dan tangan berjaya memujuk diri untuk terus menari hingga tamat sesi.

Sememangnya senaman zumba bukan rejim senaman biasa. Sekali pandang ia seperti aerobik, tapi zumba lebih tertumpu kepada gerakan tarian di samping latihan tentangan mudah.

Seiring pentingnya menjaga kesihatan menerusi senaman berterusan, pendedahan dan kesedaran mengenai aspek itu juga perlu dititikberatkan.

Seperti apa yang dilakukan Hotel Maya, Kuala Lumpur, senaman dan kesedaran mengenai kesihatan perlu seiring agar diri kekal cergas serta sihat di tahap optimum.

Sempena kempen kesedaran barah payudara yang berlangsung sepanjang Oktober ini, Hotel Maya menganjurkan Zumba Pink Party (ZPP) dalam usaha mengumpul dana untuk badan kebajikan yang terbabit dalam kempen itu, di samping menggalakkan lebih ramai wanita aktif bersukan.

Dengan kerjasama Ako Fitness dan disokong Jamu Mak Dara, Maya Pink Club dan Yayasan Pride, ZPP menerima 300 penyertaan dari Kuala Lumpur serta Selangor.

Bertemakan 'Let's Do It for Love, Get Fit and Dance', peserta ZPP sememangnya seronok menari mengikut pelbagai rentak lagu, sekali gus bersenam menerusi gabungan aerobik, tarian, yoga, kardio dan pilates bagi menjadikannya senaman menyeluruh selama 60 minit.

Diasaskan oleh Alberto 'Beto' Perez di Colombia pada lewat 1990-an, senaman zumba ini inspirasi daripada budaya Latin dan tidak hairanlah banyak muzik genre itu digunakan dalam program latihannya.

Zumba bermula dengan pergerakan tarian lalu mencipta dinamik senaman yang menarik, menyeronokkan serta berkesan.

Setiap sesi zumba menggabungkan irama perlahan dan pantas yang membantu kepada pembentukan otot tubuh yang lebih baik.

Zumba juga menjadi alternatif kepada mereka yang tidak gemar bersenam menggunakan peralatan atau mesin kerana ia menekankan aspek keseronokan ketika bersenam.

Hampir kebanyakan tarian antaranya salsa, soca, samba, jazz, hip hop dan pop disatukan menjadi program senaman lengkap.

Menariknya, zumba bukan saja membantu meningkatkan kecergasan tubuh, malah turut membentuk otot tangan, mengempiskan perut serta memejalkan punggung, kaki dan paha.

Zumba sememangnya mudah diikuti wanita, juga lelaki, pelbagai peringkat usia terutama antara empat hingga 65 tahun kerana rentak tarian yang mudah diikuti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:02 AM