AHLI Julieda Aerodance menyertai program zumba pada Fit Fun Charity 2015 di Kompleks Majlis Sukan Negara Taman Keramat AU2 Setiawangsa, baru-baru ini.
AHLI Julieda Aerodance menyertai program zumba pada Fit Fun Charity 2015 di Kompleks Majlis Sukan Negara Taman Keramat AU2 Setiawangsa, baru-baru ini.

Senaman zumba bukan rejim senaman biasa walaupun ia kelihatan sama seperti aerobik tetapi zumba lebih tertumpu kepada gerakan tarian diiringi irama muzik rancak.

Zumba juga dikatakan mampu menghilangkan tekanan kerana gerak tarian yang diadun dalam senaman ini bukan saja pantas malah adakalanya mengundang senyuman dan gelak ketawa.

Suasana yang menyeronokkan inilah membuatkan ramai peserta dapat melupakan sebentar masalah yang membelenggu mereka.

Menyedari kepentingan dalam menjaga kesihatan menerusi senaman secara berterusan, pendedahan dan kesedaran mengenai senaman seperti berzumba perlu sentiasa diterapkan untuk memiliki tahap kesihatan yang baik.

Justeru, Julieda Aerodance sentiasa berusaha memastikan setiap ahlinya mengekalkan stamina diri dengan menjalankan pelbagai aktiviti senaman antaranya zumba hampir setiap minggu.

Pengasas Julieda Aerodance Julie Azulie berkata, pelbagai aktiviti dan senaman dijalankan pihaknya terutama senaman zumba bagi menarik minat setiap ahlinya.

“Kini senaman zumba semakin diminati kebanyakan wanita yang mementingkan tahap kesihatan diri. Disebabkan itu, kami sentiasa menyusun jadual program zumba bagi memastikan ahli kami sentiasa seronok dan pada masa sama, menyihatkan badan,” katanya.

Julie berkata, terbaru pihaknya menyertai program Fit Fun Charity 2015 anjuran pelajar semester lima Diploma Pengurusan Hotel & Katering, Politeknik Kuala Lumpur.

“Program amal yang turut diselitkan segmen kesihatan dan senaman zumba itu disertai lebih 300 ahli Julieda Aerodance yang sentiasa bersemangat untuk menyihatkan tubuh badan.

“Program itu diadakan di Kompleks Majlis Sukan Negara Taman Keramat AU2 Setiawangsa dan menerima sambutan memberangsangkan,” ujarnya.

Menurut Julie, pihaknya sentiasa menyusun jadual bagi menyertai pelbagai program yang berunsurkan kesihatan terutama senaman zumba kerana senaman ini mampu melegakan tekanan selain menggembirakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:01 AM