DATUK Seri Hasan Malek. FOTO Rosela Ismail
DATUK Seri Hasan Malek. FOTO Rosela Ismail
Oleh Mohamad Hanafis Abdul Haris


Petaling Jaya: Tindakan akan diambil terhadap peniaga yang masih berdegil menggunakan resit cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam bentuk resit tulisan tangan bermula 1 Mei ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek, berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga 30 April ini bagi kesemua peniaga mendapatkan 'mesin daftar tunai' yang mematuhi piawaian GST.

"Banyak aduan berkaitan pengeluaran resit bertulis tangan diterima pihak kami. Oleh itu kerajaan memberi tempoh sehingga 30 April ini bagi kesemua peniaga mematuhi perlaksanaan pembayaran berkenaan.

"Malah sekiranya didapati masih berdegil, tindakan tegas akan diambil bermula 1 Mei ini mengikut undang-undang dibawah Akta Perihal Dagangan " katanya dalam sidang media selepas melancarkan perkhidmatan talian telefon mudah alih dan kad keahlian MyAngkasa di Kelana Jaya, di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan itu diambil bagi mengelak kekeliruan pengguna berhubung pemberian resit dan invois cukai daripada peniaga sama ada dibenarkan secara bertulis atau secara elektronik sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 7:07 PM