Petaling Jaya: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang masih berdegil menggunakan resit Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam bentuk resit tulisan tangan bermula 1 Mei ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga 30 April ini bagi kesemua peniaga mendapatkan ‘mesin daftar tunai’ yang mematuhi piawaian GST.

“Kami menerima banyak aduan penggunaan resit bertulis dikeluarkan sesetengah peniaga. Selain diragui cara pengiraan barangan dibeli, pengeluaran resit secara bertulis juga boleh menyebabkan keraguan dalam kalangan pengguna mengenai ketepatan pengiraan kadar cukai dikenakan.

“Oleh itu, kerajaan memberi tempoh sehingga 30 April ini bagi semua peniaga mematuhi pelaksanaan pembayaran. Malah sekiranya didapati masih berdegil, tindakan tegas akan diambil bermula 1 Mei ini mengikut undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Menurutnya, operasi bagi memantau harga barangan dan perkhidmatan masih giat dijalankan pihak KPDNKK bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan.

“KPDNKK komited bagi pelaksanaan GST berjalan lancar. Malah saya menjangkakan masalah berkaitan GST akan mula berkurangan dalam tempoh sebulan ini.

“Cuma saya berharap orang ramai tidak mudah terpedaya dengan maklumat palsu mengenai GST,” katanya selepas melancarkan perkhidmatan talian telefon mudah alih dan kad keahlian MyAngkasa oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di kelana Jaya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 8:50 AM