Johari (dua dari kiri) dan Ketua JKDM Sungai Petani Mohd Shukri Jusoh (kiri) membuat pemeriksaan di premis perniagaan dekat Ambangan Height. FOTO Omar Osman
Johari (dua dari kiri) dan Ketua JKDM Sungai Petani Mohd Shukri Jusoh (kiri) membuat pemeriksaan di premis perniagaan dekat Ambangan Height. FOTO Omar Osman
Omar Osman


Sungai Petani: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan ada premis atau syarikat perniagaan di negeri ini hanya menghantar penyata Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) namun tidak membayarnya.

Pengarah JKDM Kedah Johari Alifiah, berkata, kebanyakan syarikat yang melakukan tindakan itu adalah mereka yang berurusan secara atas talian di mana syarikat itu ada menghantar penyata GST tetapi tidak berserta bayarannya.

Katanya, jadi JKDM sedang membuat siasatan untuk mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit yang melanggar Akta GST 2014.

"Selain itu, ada premis perniagaan dikesan menipu pengguna apabila tidak mengeluarkan resit GST dengan memberi alasan pembeli tidak mahu resit dan peniaga terbabit tidak memasukkannya dalam data GST.

"Jadi bayaran GST yang dikenakan kepada pengguna diambil oleh peniaga itu menyebabkan dia mendapat untung lebih," katanya selepas melancarkan Op Kesan 1/2017 di perkarangan Pejabat JKDM Sungai Petani di sini, hari ini.

Beliau berkata, Op Kesan bertujuan mengesan syarikat dan peniaga yang belum atau enggan berdaftar dengan JKDM biar pun sudah layak membayar GST.

"Sehingga hari ini terdapat 14,819 syarikat dan premis perniagaan yang berdaftar dengan JKDM dan tahun ini saja terdapat sebanyak 234 syarikat serta peniaga sudah mendaftar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 9:10 PM