ASEP (tengah) menganjurkan AOS 2015.
ASEP (tengah) menganjurkan AOS 2015.

Buat kali keempat, pameran kenderaan klasik, ‘old skool’ dan pembinaan khas menerusi Art of Speed (AOS) 2015 akan kembali menggegarkan industri permotoran tempatan pada Jun depan.

Tahun ini, AOS 2015 hadir de­ngan slogan ‘Meraikan Seni Dalam Budaya Automotif’ yang menfokus kepada keserasian budaya dan seni.

Acara dua hari bermula 6 Jun diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor pasti lebih meriah apabila Fast Bikes Sdn Bhd bersama AOS menganjurkan pertandingan ‘Bike Built-Off 2015’.

Pertandingan dinamakan Pertandingan Motosikal Binaan Khas Triumph AOS itu akan membabitkan empat pembina khas dari Lembah Klang bersaing dalam 60 hari untuk melengkapkan ciptaan motosikal binaan khas masing-masing.

Pembina khas motosikal yang dipilih adalah Hungry Ghost Customs Inc (Ahmad Junaidi Abd Aziz), Awesome Works Engineering (Sal­lehudin Hamzah), Big Cat Motor Art (Hazuar Hassan) dan Eastern Bobber (Omar@Maharani Jumiran).

Mereka akan membangunkan motosikal binaan khas dalam kategori terbuka dan juga cafe racer.

Pengunjung bertuah di AOS 2015 juga berpeluang memenangi sebuah motosikal binaan khas Triumph daripada empat motosikal yang dipertandingkan pada acara itu.

Sementara itu, penganjurnya, Asep Ahmad Iskandar berkata, pemenang pertandingan bike build-off itu bukan saja berpeluang memenangi gelaran juara, juga pembina khas yang dipilih mendapat penghormatan di Malaysia, selain menerima pendedahan kepada umum melalui televisyen serta media sosial.

Tiga kenderaan khas dari negara matahari terbit juga akan dipamerkan sambil mendedahkan kepada pengunjung hasil karya pembina khas yang memenangi beberapa anugerah antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:07 AM