PELBAGAI kenderaan klasik dan retro menarik perhatian.
PELBAGAI kenderaan klasik dan retro menarik perhatian.
ACARA untuk peminat seni binaan khas dan kustom.
ACARA untuk peminat seni binaan khas dan kustom.
ASEP ketika majlis pelancaran AOS 2017.
ASEP ketika majlis pelancaran AOS 2017.
Lizam Ridzuan


Buat peminat kenderaan kustom dan binaan khas acara yang mengetengahkan seni iaitu Art of Speed (AOS 2017) kini bakal menemui pengikutnya pada 29 hingga 30 Julai 2017.

Edisi keenam penganjuran itu akan diadakan di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) Serdang dari jam 10 pagi hingga 7 malam dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan.

Berkonsepkan Old-Skool dan Kustom Kulture, aktiviti serta tetamu jemputan khas disusun buat peminat kereta dan motosikal dapat bertemu nama besar dalam komuniti ini seperti Cole Foster daripada Salinas Boys Custom Cars & Bikes, Jeff Holt daripada Hot Bike Magazine dan David ‘Chopperdave’ Freston (Amerika Syarikat), Shige Suganuma & Wildman daripada Mooneyes (Jepun) dan banyak lagi.

Seperti konsep sebelumnya, tahun ini dengan kategori baru iaitu AOS Invitational Bike Build Off 2017 dengan 10 peserta binaan khas Malaysia dan Singapura bersaing untuk merebut hadiah wang berjumlah RM15,000.

Juga kerjasama istimewa motosikal Honda melalui Boon Siew X Art of Speed dengan empat ikon gaya hidup seperti Legend Racing Garage, BWB, District Shop dan Ah Ho Motors akan mempamerkan ciptaan mereka.

Pengasas AOS Malaysia, Asep Ahmad Iskandar berkata, pemilihan peserta kali ini antara yang terbaik dalam penganjuran dengan fokus serta lebih teliti untuk memenuhi permintaan peminat daripada pelbagai golongan usia.

“Selain pameran, AOS juga dimeriahkan dengan cabutan bertuah dan tahun ini sebuah motosikal CMC XY400 akan diberikan pada hari Sabtu dan Yamaha RX-Z binaan khas daripada FNG Works serta Beautiful Machines untuk hari Ahad,” katanya ketika majlis pelancaran baru-baru ini.

Antara aktiviti lain yang menarik ialah Show & Shine untuk kenderaan kustom dan klasik, Moto Circus, Kustom dan Koffee Talk, Taxi Drift, pandu uji motosikal, konvoi kelab kereta dan motosikal, taman papan luncur dan trak makanan.

Para pengunjung acara AOS 2017 akan dihiburkan oleh kumpulan kugiran Oh Chentaku pada Sabtu dan kumpulan Hujan pula akan menutup acara ini pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 1:17 AM