Oleh Shamran Sarahan


Bintulu: Datuk Seri Najib Razak melancarkan fasa pertama pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,076 kilometer yang secara keseluruhannya bernilai RM15 bilion di Hentian Rawat Dan Rehat Simpang Bakun, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, Lebuhraya Pan Borneo itu akan dibina dari Tanjung Datu di Barat Sarawak sehingga Merapok di Sabah dan dijangka siap sepenuhnya pada 2023.

"Hari ini saya sifatkan sebagai hari yang bersejarah buat rakyat Sarawak selepas 50 tahun menunggu untuk memiliki sistem jalan raya yang sempurna.

"Realitinya pembinaan lebuh raya ini akan membuka akses kepada penduduk dari Tanjung Datu, hujung sebelah barat Sarawak sehingga Merapuk di Sabah," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian pelancaran projek itu.

Hadir sama Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib berkata, sepanjang pelaksanaan projek itu berlangsung nanti, kerajaan hanya akan memberikan tender kontrak kepada kontraktor tempatan dalam kalangan anak Sarawak sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 2:11 PM