Najib bersama Ahmad Zahid  diiringi Adenan dan Fadillah  merasmikan Pelancaran Projek Pan Borneo Sarawak Jajaran Bulatan Serian-Simpang Pantu, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Najib bersama Ahmad Zahid diiringi Adenan dan Fadillah merasmikan Pelancaran Projek Pan Borneo Sarawak Jajaran Bulatan Serian-Simpang Pantu, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Shamran Sarahan

Serian: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin pelancaran pakej ketiga Projek Lebuh Raya Pan Borneo, Jajaran Bulatan Serian-Simpang Pantu bakal menjadi ejen perubahan bagi Sarawak.

Beliau berkata, pakej sepanjang 75 kilometer bernilai RM1.46 bilion itu akan memberi limpahan pembanguan ekonomi dan perpaduan dalam kalangan penduduk di negeri ini apabila ia siap sepenuhnya kelak.

"Berdasarkan teori ekonomi, jika kita membelanjakan RM16 bilion (Projek lebuh Raya pan Borneo), nilainya akan berganda kepada lapan kali ganda untuk Sarawak. Ia akan membuka peluang baru dalam ekonomi setempat.

"Dari segi perpaduan, sudah tentu projek lebuh raya dari Tanjung Datu ke Lawas ini akan menjadi jaringan hubungan yang lebih baik dan berkesan kepada penduduk di negeri ini. Sudah jelas ia memberi faedah yang besar untuk Sarawak," katanya ketika Pelancaran Projek Pan Borneo Sarawak Jajaran Bulatan Serian-Simpang Pantu di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Jajaran Bulatan Serian-Simpang Pantu membabitkan laluan sepanjang 75 kilometer yang juga sebahagian daripada projek lebuh raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 1,089 kilometer.

Melalui pakej ini, laluan sedia ada akan dinaik tarafdari dua lorong kepada empat lorong, termasuk pembinaan tiga persimpangan bertingkat di Serian dan Simunjan.

Pembinaan laluan ini juga akan membabitkan 10 jambatan, 84 hentian bas, 8 jejantas dan satu kawasan hentian di Balai Ringin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 1:28 PM