Putrajaya: Fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak membabitkan jajaran sepanjang 773 kilometer (km) akan mula dibina seawal September ini, membabitkan pakej Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 km.

Pembinaan lebuh raya itu bermula selepas termeterainya Perjanjian Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sarawak dan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) di sini, semalam.

Perjanjian ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob; Setiausaha Kerajaan Sarawak Tan Sri Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi LBU Tan Sri Abang Ahmad Urai Datuk Hakim Abang Mohideen.

Turut menyaksikan perjanjian itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof.

Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan diedarkan selepas majlis itu menyatakan pakej ini membabitkan pembinaan jajaran baru satu lorong dua hala untuk menghubungkan pekan kecil dan beberapa perkampungan di kawasan Telok Melano yang kini hanya boleh dihubungkan melalui jalan laut.

Menurutnya, kerajaan memutuskan pelaksanaan projek ini dilaksanakan melalui kaedah rakan kongsi penyampaian (project delivery partner’ (PDP) dengan pembiayaannya dibuat sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan melalui Dana Infra.

“Model sama digunakan dalam pelaksanaan projek Mass Rapit Transit (MRT), dan pendekatan ini dipilih kerana lebih menjimatkan dan mengurangkan kos pembiayaan kerajaan, selain lebih efektif dan cekap.

“Ini kerana ia projek mega berskala tinggi dengan komitmen kewangan tinggi di pihak kerajaan,” katanya.

Menurutnya, komponen pemula (kick off) lebuh raya ini membabitkan jajaran simpang Jalan Nyabau ke simpang Jalan Bakun sepanjang 43 km sudah dilancarkan Perdana Menteri pada 32 Mac lalu, dan ia adalah sebahagian daripada 1,090 km jajaran Pan Borneo Sarawak yang akan dinaik taraf kepada empat lorong dua hala.

Sehubungan itu, LBU dilantik sebagai PDP untuk mengurus dan menyelia pelaksanaan projek lebuh raya ini, yang akan bertindak sebagai satu badan bertanggungjawab dalam melaksana, mengurus dan menyiapkan pembangunan lebuh raya pada kadar berpatutan serta tempoh pembinaan yang dipersetujui kerajaan.

Sebagai balasan, katanya, PDP menerima bayaran yuran PDP berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dipersetujui.

Katanya, pada masa sama, satu jawatankuasa eksekutif dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Sarawak dan dianggotai agensi lain seperti Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sudah dibentuk.

Menurutnya, ia bertanggungjawab memantau, menyelaras dan menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul dalam pelaksanaan projek ini, selain memastikan penduduk Sarawak dibabitkan secara maksimum dalam projek ini.

“Projek ini disasarkan memberi impak kepada ekonomi setempat dan berupaya menggalakkan lagi pembangunan ekonomi di wilayah koridor Sarawak (SCORE), kerana mempunyai rangkaian jalan raya yang cekap.

“Selain itu, projek ini juga dijangka memberi kesan langsung kepada penduduk melalui peluang pekerjaan dalams sektor pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan baru dan pemangkin kepada pusat pertumbuhan baharu ekonomi,”katanya.

Sementara Fadhillah ketika ditemui media selepas majlis berkenaan berkata, pembinaan lebuh raya itu adalah bagi menunaikan manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:39 AM