NAJIB  merasmikan Majlis Permulaan Kerja Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Serian.
NAJIB merasmikan Majlis Permulaan Kerja Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Serian.
Shamran Sarahan dan Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Serian: Di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, Perdana Menteri menaruh keyakinan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo tidak akan terjejas dan kerajaan yakin ia dapat dilaksanakan mengikut rancangan asal pembinaannya.

Datuk Seri Najib Razak berkata, kelancaran projek mega itu cukup penting dan menyifatkan ia sebagai ejen perubahan atau ‘game changer’ yang mampu meningkatkan daya saing negara khususnya di Sarawak.

Beliau berkata, meskipun ekonomi dunia merudum, terutama harga minyak dan komoditi jatuh, namun beliau percaya kerajaan dapat meneruskan kelangsungan projek itu.

Menurutnya, pembinaan lebuh raya itu juga memberi limpahan pembangunan ekonomi, selain mampu mengeratkan perpaduan rakyat di negeri ini apabila ia siap sepenuhnya kelak.

“Berdasarkan teori ekonomi, jika kita membelanjakan RM16 bilion (Projek Lebuh Raya Pan Borneo), nilainya berganda kepada lapan kali ganda, sekali gus meningkatkan lagi sektor ekonomi di Sarawak dan secara amnya di negara ini.

“Dari segi perpaduan, sudah tentu kita dapat melihat projek lebuh raya dari Tanjung Datu ke Lawas akan menjadi jaringan hubungan lebih baik dan berkesan kepada penduduk di negeri ini. Jelas ia memberi faedah besar untuk Sarawak,” katanya ketika Pelancaran Projek Pan Borneo Sarawak Jajaran Bulatan Serian-Simpang Pantu, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Jajaran Bulatan Serian-Simpang Pantu membabitkan laluan sepanjang 75 kilometer bernilai RM1.46 bilion sebahagian daripada projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 1,089 kilometer.

Melalui pakej itu, laluan sedia ada dinaik taraf dari dua lorong kepada empat lorong, termasuk pembinaan tiga persimpangan bertingkat di Serian dan Simunjan.

Pembinaan laluan itu juga membabitkan 10 jambatan, 84 hentian bas, lapan jejantas dan satu kawasan hentian di Balai Ringin.

Najib berkata, kerajaan yakin rakyat Sarawak akan mendapat manfaat besar melalui pembinaan lebuh raya itu dengan inisiatif kaedah rakan kongsi penyampaian (PDP).

Beliau berkata, kontraktor tempatan di Sarawak diberi keutamaan dalam pembinaan lebuh raya itu supaya dapat memberi peluang ekonomi lebih baik kepada anak jati negeri ini dalam aspek pembangunan, tanpa mengira kekayaan dan kroni.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 9:38 AM