SETIAP karya mengekalkan identiti motif tradisional dan falsafah seni ukir Melayu.
SETIAP karya mengekalkan identiti motif tradisional dan falsafah seni ukir Melayu.

Ukiran kayu antara simbol kepada hasil kerajinan, kemahiran dan ketinggian ilmu pertukangan serta minat yang mendalam.

Ia diterjemahkan ke dalam pelbagai bentuk barangan yang mempunyai unsur seni.

Simbol dan identiti yang ditonjolkan pada ukiran kayu mencerminkan jati diri masyarakat di negara ini.

Seni bina Melayu terutama seni bina Terengganu tampak lebih kemas dan kukuh melalui penggunaan teknik pasak yang diamalkan tukang-tukang lama serta penggiat seni ukiran.

Teknik pasak adalah simbolik kepada kerja pertukangan kayu yang memperlihatkan teknik binaan tanpa menggunakan paku untuk mencantumkan kayu bagi menghasilkan produk lebih unik.

Teknik pasak ini memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi kerana cantuman kayu bagi menghasilkan sebuah binaan tanpa menggunakan paku mesti kukuh dan tahan lama.

Sekiranya ukuran tidak selari, binaan mungkin roboh dan tidak tahan lama.

Antara produk yang popular menggunakan teknik pasak dan sering mengikat hati pelanggan termasuk wakaf bujang, wakaf serambi, pintu gerbang dan pagar kayu.

Keindahan yang digambarkan dicetuskan melalui hasil kerja tangan yang bermotifkan seni khat atau kaligrafi terutama petikan ayat al-Quran dan tulisan jawi.

Ukiran pada kayu ini menggambarkan kesungguhan tukang-tukang kayu mendalami ilmu tauhid, fikah dan tasawuf. Binaan pasak tampak lebih teguh dan berseni dengan dihiasi motif serta reka corak yang diilhamkan dari alam seperti tumbuh-tumbuhan atau geometri.

Setiap karya mengekalkan identiti motif tradisional dan falsafah seni ukir Melayu yang menyimpul pelbagai falsafah serta firasat ukiran.

Bagi menghasilkan produk yang bermutu tinggi, penggunaan kayu-kayu terbaik seperti cengal, seraya dan merbau digunakan.

Sementara itu, Krafta­ngan Malaysia bakal me­nganjurkan Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman bermula sekarang sehingga 3 November di Kompleks Kraf Jalan Conlay Kuala Lumpur, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Maklumat lanjut layari laman web www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:02 AM