UKIRAN halus dengan  motif tradisional.
UKIRAN halus dengan motif tradisional.

Kebijaksanaan memaksimumkan penggunaan ruang terhad hingga menjadi hiasan dalaman sempurna yang selesa menjadi faktor utama keindahan sebuah kediaman.

Di Kampung Raja, Besut, Terengganu, tersergam kediaman kayu tradisional berhias indah dengan ukiran halus di setiap ruang binaannya.

Dari pintu gerbang hingga ke kekisi rumah, ukiran halus dengan motif tradisional melambangkan jiwa seni dimiliki pemiliknya.

Lebih menarik, pemiliknya Norhaiza Nordin menggunakan semula binaan rumah lama yang diperoleh di sekitar Terengganu.

Ini kerana dia begitu mencintai seni ukiran warisan yang banyak ditinggalkan pada binaan lama.

Peredaran masa dan status kehidupan masyarakat hari ini sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik dan selesa.

Kediaman lama ini diganti dengan binaan baru yang lebih ringkas dan mudah diperoleh bahan binannya.

Berbekalkan kemahiran mengukir dan pengalaman memulihara karya warisan, pemilik mendirikan komponen binaan rumah tradisional menjadi kawasan kediamannya sendiri.

Keseluruhan struktur binaan rumah tradisional itu menggunakan kayu cengal yang berusia lebih 100 tahun.

Konsep kediaman kampung Melayu tradisional mengutamakan suasana santai dan tidak menitikberatkan unsur dekorasi tambahan yang lebih kontemporari.

Ukiran pada bahagian kediaman itu sendiri begitu sarat dengan pelbagai makna dan falsafah.

Kredibiliti seni pemilik Bakawali Sari Warisan ini jelas kelihatan apabila berani melakukan transformasi pada ruang kediamannya.

Malah, kreativiti dalam menyelitkan ilham hiasan tradisional di ruang tertentu menaikkan ‘saham’ di mata sesiapa saja yang melihatnya.

Pada masa sama Norhaiza turut menyimpan satu lagi impian yang bakal direalisasikan iaitu menjadikan kediamannya sebagai tempat perkongsian ilmu dan falsafah dalam seni ukiran.

Dia ingin berkongsi dengan pengukir, pelajar, pengkaji dan penyelidik berkenaan seni ukiran Melayu yang kaya dengan makna dan falsafah.

Maklumat lanjut di www.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 4:42 AM