SENI pertukangan kayu, perak mampu ikut peredaran masa.
SENI pertukangan kayu, perak mampu ikut peredaran masa.
Suliati Asri


SENI pertukangan kayu dan perak bukan suatu bidang yang mudah. Ini kerana proses untuk menghasilkan sesuatu produk atau karyanya sangat rumit dan memerlukan ketelitian untuk produk yang berkualiti.

Hanya mereka yang mempunyai minat mendalam, tekun belajar dan boleh memberi fokus yang tinggi dapat menguasai serta bertahan lama dalam bidang ini.

Disebabkan itu, seni ukiran kayu dan logam ini sering dikaitkan dengan 'orang lama' dan sangat jarang dijadikan kerjaya khususnya dalam kalangan anak muda.

Namun, percaya kepada peluang pekerjaan dan kemahiran yang dipelajari boleh dikembangkan serta membawanya lebih jauh, Muhammad Bazli Rais Sapri, 22, tidak teragak-agak memilih ukiran kraf kayu sebagai bidang pengajiannya.

Menurut pelajar tahun akhir Jurusan Seni Kraf Kayu di Institusi Kraf Negara (IKN) itu, kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam apa juga bidang memberi pelbagai peluang kepada sesiapa saja terutama belia sepertinya.

"Ukiran kayu banyak dipelopori 'orang lama' dan kurang pelapis. Jadi, apabila golongan muda menceburi bidang kemahiran kraf kayu ini, ia mampu membawa seseorang itu pergi jauh.

MOHAMMAD Bazli Rais menyiapkan kabinet ketika menyertai pertandingan Worldskill Malaysian Belia 2019.
MOHAMMAD Bazli Rais menyiapkan kabinet ketika menyertai pertandingan Worldskill Malaysian Belia 2019.

"Bukan itu saja, walaupun kerja kraf kayu ini dikategorikan sebagai tradisional, tetapi ia sebenarnya kemahiran tradisional yang mampu ikut peredaran zaman.

"Jadi, golongan muda sebenarnya tidak rugi, tetapi beruntung kerana dengan kemahiran yang ada mereka dan karya yang dihasilkan akan sentiasa mempunyai permintaan," katanya.

Dalam seni kraf kayu terutama berkaitan dengan ukiran, ia mempunyai konsep tersendiri iaitu tradisional, moden dan kontemporari.

Menariknya, kata Mohammad Bazli Rais, konsep yang dihasilkan boleh diperbaharui dan tidak terikat dengan sentuhan tradisional semata-mata.

"Ukiran kayu ini tradisional, tapi orang tidak tahu yang kita boleh buat ukiran ikut trend terkini.

SENI ukiran kraf kayu mampu mengikuti peredaran zaman.
SENI ukiran kraf kayu mampu mengikuti peredaran zaman.

"Jadi, pelbagai ukiran yang boleh dihasilkan mengikuti kreativiti dan permintaan," katanya.

Biasanya, golongan muda mempelajari bidang kraf kayu untuk menyambung perniagaan atau legasi keluarga.

Namun, berbeza dengan Mohammad Bazli Rais yang mana tidak seorang pun dalam keluarga yang berkecimpung dalam bidang kraf kayu kecuali datuk yang bekerja sebagai tukang rumah.

Kata Mohammad Bazli Rais, minatnya terhadap penghasilkan produk berasaskan kayu secara suka-suka membawanya menceburi bidang kraf kayu.

"Saya meminati kraf kayu ini sejak kecil dan ketika di tingkatan tiga, saya mula membuat pelbagai produk berasaskan kayu seperti replika bot, meja, kerusi, buat sarung parang dan banyak lagi.

SENI logam mempunyai daya tarikan tersendiri.
SENI logam mempunyai daya tarikan tersendiri.

"Minat saya itu disedari ibu saudara dan dia mencadangkan supaya saya melanjutkan pelajaran dalam bidang ukiran kayu di IKN," katanya.

Berasal dari Marang, Terengganu, Mohammad Bazli Rais bersyukur kerana peluang melanjutkan pengajian banyak membantunya mempelajari pelbagai ilmu dalam bidang kayu.

Di IKN, dia tidak hanya mempelajari mengenai ukiran kayu, tetapi juga pelbagai ilmu dalam pembuatan produk kayu termasuk perabot, kabinet, perabot luar dan banyak lagi. Pelajar juga diberikan pendedahan mengenai industri kayu melalui sesi lawatan dan perjumpaan dengan usahawan kayu.

Mohammad Bazli Rais antara pelajar yang aktif dan sudah mengikuti pelbagai pertandingan sepanjang belajar di IKN.

Antaranya ialah Pertandingan Ukiran Kayu di Temerloh, Pahang dan Pertandingan Ukiran Kayu di Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2019 hingga mendapat tempat kedua.

MENGHASILKAN produk perak sangat rumit, tetapi ia beri kepuasan tersendiri kepada pembuatnya.
MENGHASILKAN produk perak sangat rumit, tetapi ia beri kepuasan tersendiri kepada pembuatnya.

Lebih membanggakan, Mohammad Bazli Rais juga pernah menyertai Pertandingan Worldskill Malaysian Belia.

"Pertandingan ini adalah yang paling mencabar bagi saya kerana ia menguji kemampuan saya untuk mencipta kabinet. Sesuatu yang jarang saya lakukan.

"Menerusi ilmu yang dipelajari di IKN dan bantuan dari semua, Alhamdulillah saya layak ke final dan mendapat 'medium of excellent," katanya.

Menyimpan impian untuk menjadi usahawan berjaya dalam bidang kraf kayu dengan mengeluarkan produk jenama sendiri untuk pasaran dalam dan luar negara satu hari nanti, Mohammad Bazli Rais sangat menyarankan generasi muda untuk berkecimpung dalam bidang kemahiran terutama kraf kayu ini.

Katanya, dengan adanya kemahiran seseorang itu boleh belajar banyak perkara baharu.

"Jurusan kayu sangat berbaloi kerana banyak peluang pekerjaan ataupun boleh jadi sumber pekerjaan kepada generasi akan datang.

"Pelapis dalam bidang kraf kayu semakin kurang. Oleh itu, saya sarankan kepada golongan muda yang masih mencari bidang kemahiran yang ingin diceburi, seni kraf kayu ini adalah salah satu pilihan terbaik," katanya.

Sementara itu, bagi anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan, Amiruddin Kamarudin, 32, pula, kemahiran seni pertukangan perak bukan suatu bidang yang mudah.

Di sebalik harganya yang mahal, kerja untuk menghasilkan produk perak sangat rumit dan memerlukan ketelitian dalam menghasilkan produk berkualiti.

Menurut Amiruddin yang lebih mesra disapa Amir, dia bertuah kerana mempunyai bapa saudara yang juga pakar dalam pertukangan logam iaitu Pok Teh.

"Arwah Pok Teh atau Abdul Manan Yakub adalah guru pertama saya dalam bidang ini dan dia juga yang memperkenalkan IKN kepada saya.

"Poh Teh adalah tukang kraf Istana Kelantan dan dilantik Kraftangan Malaysia sebagai Adiguru Kraf Logam dan Tokoh Kraf Negara," katanya.

Di IKN, Amir memulakan pengajian di peringkat Sijil Seni Kraf Logam pada 2008 hingga 2010 sebelum menyambung pengajian dalam bidang sama di peringkat diploma pada 2011.

Amiruddin berkata, ilmu yang dicari dalam bidang logam ini bukan sekadar untuk mendapatkan sekeping sijil.

"Konsep pendidikan di IKN memberi penekanan 70 peratus dalam aspek kemahiran dan 30 peratus dalam bidang akademik.

"Saya sangat bersyukur kerana dengan kemahiran yang dipelajari, ia memberi kelebihan dan memudahkan saya mendapat tawaran serta peluang pekerjaan yang lebih luas.

"Ini kerana kebanyakan majikan pada masa ini mencari pekerja yang mempunyai lebih kemahiran walaupun mereka baharu saja menamatkan pengajian," katanya.

Bagi Amiruddin, kemahiran yang dipelajari bukan saja boleh dijadikan pekerjaan utama, tetapi juga secara sambilan. Ia sekali gus membolehkan seseorang itu menceburi banyak bidang pekerjaan.

"Walaupun mempunyai pekerjaan tetap, namun minat dan kecintaan saya kepada perniagaan serta seni pertukangan logam tidak pernah luntur.

"Kerana itu, saya membuka studio kecil yang dinamakan Amir Studio dan perniagaan itu dijalankan secara sambilan," katanya.

Di kala orang lain berehat di sebelah malam dan hari cuti, Amiruddin memilih untuk menyiapkan tempahan yang diterima.Antara tempahan diterima termasuk cincin perak, keris dan aksesori perhiasan.

Dalam berkarya, Amiruddin banyak mengetengahkan ukiran logam Melayu lama dan tradisional supaya ia kekal sepanjang zaman.

"Saya akan terus berkarya dalam bidang seni ini sehingga berjaya.

"Matlamat saya adalah untuk mengetengahkan seni pertukangan ukiran logam teknik pahat yang beridentitikan Melayu hingga persada dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 6:20 AM