A Muhaimin turut diundang untuk berkongsi kepakaran dengan warga UPSI pada tahun lalu.
A Muhaimin turut diundang untuk berkongsi kepakaran dengan warga UPSI pada tahun lalu.
Hartini Mohd Nawi


DALAM apa jua keadaan insan seni ini tidak pernah duduk diam. Ada saja idea dan paling penting sentiasa mencari alternatif untuk berkongsi ilmu serta kepakaran yang dimiliki. Tiada lain, itulah dia Adiguru Kraf Kayu A Muhaimin Hasbollah, 55.

Berdepan penularan pandemik Covid-19 bukan halangan buatnya untuk mendidik generasi muda lebih mencintai dunia kraf kayu.

Mempraktikkan normal baharu, Sesi Bicara Seni secara dalam talian diadakan dengan anjuran Kursus Projek Tahun Akhir yang membabitkan pelajar Studio Ukiran Kayu, Jabatan Seni dan Reka Bentuk, Fakulti Seni, Komputeran & Industri Kreatif (FSKIK), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.

Lebih membanggakan apabila Sesi Bicara Seni itu akhirnya menjadi platform perkongsian adiguru berkenaan dengan pelajar dari pelbagai bidang seni.

Malah ia bukan saja mendapat sambutan daripada warga Jabatan Seni dan Reka Bentuk, namun disertai oleh aktivis budaya dari luar UPSI.

A Muhaimin ketika membuat panggilan video bersama pelajar dan pensyarah UPSI.
A Muhaimin ketika membuat panggilan video bersama pelajar dan pensyarah UPSI.

Adiguru kelahiran Pontian dan dibesarkan di Felda Pasir Raja, Kulai, Johor itu mengakui dalam situasi menghadapi norma baharu ini, paling penting adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Usaha ke arah memartabatkan seni ukiran kayu kini dipelbagaikan termasuk Projek Tahun Akhir pelajar Program AT23 ini.

"Mereka meneruskan tugasan di rumah masing-masing. Proses penghasilan karya dari penentuan subjek kajian bertemakan alam semula jadi, lakaran dan penjanaan idea serta karya akhir dibimbing pensyarah selaku penyelia.

"Pertemuan secara dalam talian dilaksanakan secara konsisten oleh penyelia bagi memantau kemajuan pelajar secara mingguan. Aplikasi teknik pilihan pelajar bergantung kepada jenis bahan kayu yang digunakan.

"Di sini menunjukkan betapa seorang pelajar yang berada dalam jurusan ini perlu mempunyai ilmu pengetahuan berkenaan alatan, bahan serta teknik dan proses dalam penghasilan karya seni ukiran.

NUR Naziha tekun menyiapkan ukiran ketika pembelajaran dalam talian.
NUR Naziha tekun menyiapkan ukiran ketika pembelajaran dalam talian.

Olahan motif memerlukan daya kreativiti pelajar sendiri namun secara dasarnya berpandukan video yg diberikan," katanya yang mendapat anugerah negara Adiguru Kraf Kayu pada 2019 melalui Kraftangan Malaysia.

Rata-rata peserta yang dihubungi memberikan maklum balas positif berkenaan pembelajaran normal baharu itu.

Bagi Ashar Hamka, 23, berdasarkan penyampaian, dia melihat penghasilan karya adiguru berkenaan lebih ke arah gaya kontemporari.

"Penggayaan ukiran juga turut menggunakan motif flora dan fauna yang biasa dilihat pada seni ukiran tradisional Melayu. Setiap karya yang dihasilkan pula tercetus melalui pengamataan adiguru itu terhadap kawasan persekitaran.

"Ternyata Adiguru Kraf Kayu A Muhaimin melihat keunikan yang menjadi simbolik kepada sesuatu tempat atau persekitaran untuk dijadikan subjek dan penceritaan dalam karya yang dihasilkan," katanya.

Sementara itu, Nur Syuhada Sharudin, 23, turut mengakui Sesi Bicara Seni bersama adiguru itu memberi inspirasi kepadanya sebagai orang muda.

"Beberapa karya beliau dipamerkan dan uniknya, ia dihasilkan di negara yang berbeza. Penceritaan di sebalik penghasilan karya itu adalah berkenaan budaya yang terdapat di destinasi daerah yang dilawati beliau.

SALAH satu karya adiguru ini bermotifkan flora dan alam semula jadi.
SALAH satu karya adiguru ini bermotifkan flora dan alam semula jadi.

"Bahan ukiran yang sering diceritakan adalah mengenai kayu hanyut dan betapa bernilainya ia apabila dijadikan sebuah karya walaupun pada asalnya hanyalah kayu yang tidak berharga. Seni ukiran beliau adalah bersifat kontemporari sesuai dengan penerimaan daripada seluruh pelosok dunia," katanya.

Bagi Nur Naziha Zulkiflee, 23, Sesi Bicara Seni itu banyak membantu selain turut memberikan inspirasi kepadanya sebagai seorang pelajar yang mengambil Studio Ukiran Kayu.

"Pada saya, Adiguru A Muhaimin seorang yang tidak lokek ilmu dalam memberi penerangan dan perkongsian berkaitan dengan ilmu ukiran.

"Motif di kawasan sekitar menjadi keutamaan. Motif dan pengamatan ukiran antara tip yang dikongsikan secara tidak langsung membantu saya dalam proses pencarian idea .

"Penggunaan kayu hanyut sebagai bahan untuk ukiran dapat menarik perhatian saya kerana dari sesuatu yang tidak bernilai boleh dijadikan hasil karya yang sangat berharga. Gabungan motif yang dilihat di sekeliling dijadikan penceritaan hanya dengan menggunakan teknik ukiran di atas kayu hanyut," katanya.

Bagaimanapun, usaha memartabatkan seni ukiran kayu konteks pendidikan tidak hanya membabitkan Sesi Bicara Seni dalam talian semata-mata, malah program-program usahasama bersama pihak UPSI sebelum negara dilanda pandemik Covid-19 lagi sudah dilaksana cuma kaedah penyampaiannya berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 7:00 AM