Bangkok: Advanced Info Service Plc (AIS) dan CIMB Thai Bank memperkenalkan ‘Perbankan Beat’ yang didakwa akan menukar pengalaman kewangan pelanggan.

Ia akan merubah setiap telefon mudah alih kepada bank digital baru untuk kegunaan harian yang merevolusi perbankan dan dagangan mudah alih.

Kerjasama yang pertama seumpamanya di antara syarikat telekomunikasi dan bank, Perbankan Beat menawarkan penyelesaian inovatif yang mengemas kini cara pelanggan mengakses, membuat bayaran, memindah dan mengeluarkan wang.

Perbankan Beat menawarkan penyelesaian wang mudah alih yang pertama, Simpanan Beat untuk penduduk Thai mendapat pengalaman baru untuk kehidupan lebih mudah melalui akaun deposit elektronik yang diintegrasi sepenuhnya.

Pelanggan AIS boleh memohon untuk ‘Simpanan Beat’ tanpa keperluan jumlah deposit minimum mulai sekarang melalui aplikasi mPAY dan www.beatbanking.com.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Thai Bank, Subhak Siwaraksa berkata, perikatan di antara CIMB Thai Bank dan AIS dalam mewujudkan penyelesaian perbankan mudah alih baharu di bawah jenama ‘Perbankan Beat’ adalah kerjasama penting pertama di Thailand di antara bank komersil dan pengendali rangkaian telefon mudah alih.

“Dengan mensinergikan saluran perkhidmatan kewangan CIMB Thai Bank dengan AIS, penyelesaian perbankan digital kami lebih daripada sebuah perbankan mudah alih.

“Produk perbankan baru itu akan dilancar tidak lama lagi. Kami berharap Perbankan Beat kami akan menjadi revolusi sebenar perbankan mudah alih,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 7:56 AM