Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias menandatangani perjanjian sambil disaksikan Hamirullah (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno (kanan).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias menandatangani perjanjian sambil disaksikan Hamirullah (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno (kanan).

Kuala Lumpur: Maybank memeterai perjanjian dengan Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) bagi menyediakan perkhidmatan kewangan komprehensif untuk penyelesaian perniagaan automotif.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Hamirullah Boorhan berkata, perjanjian itu yang pertama seumpamanya bagi syarikat automotif di Malaysia meliputi keseluruhan rantaian bekalan daripada pembuatan kereta, pengedaran, runcit dan perkhidmatan selepas jualan bagi pembekal, pengedar dan pelanggan di Malaysia.

Beliau berkata, perjanjian itu memanfaatkan pengedar Honda yang mengakses produk dan perkhidmatan perbankan Maybank dengan mudah, baik secara fizikal, elektronik mahupun mudah alih.

“Memandangkan semua keperluan perbankan dan kewangan mereka dijaga oleh Maybank, kami pasti pengedar terbabit dapat memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan dan jualan, sekali gus mempertingkatkan kecekapan dan keuntungan keseluruhan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Perjanjian juga meliputi usaha bersama untuk mengembangkan perluasan perniagaan serta mempertingkat kecekapan operasi untuk pelanggan Honda dan jaringannya menerusi serahan penyelesaian perniagaan lebih cepat.

Beliau berkata, Maybank mencatat pertumbuhan kukuh dalam francais pembiayaan automotifnya selama ini dengan kadar pertumbuhan 10.3 peratus, lebih sekali ganda daripada pertumbuhan industri yang merekodkan 4.4 peratus tahun lalu.

“Ini dicapai dengan mengekalkan aset kualiti terbaik dengan nisbah pinjaman terjejas paling rendah dalam industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 12:47 PM