Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias (tengah) pada majlis pelancaran MAE. FOTO Zunnur Al Shafiq
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias (tengah) pada majlis pelancaran MAE. FOTO Zunnur Al Shafiq
Mohd Zaky Zainuddin


Maybank memperkukuhkan komitmennya dalam menawarkan pengalaman digital pelanggan dengan memperkenalkan aplikasi digital baharu, Maybank Anytime, Everyone (MAE).

MAE atau Maybank Anytime, Everyone adalah produk terkini kumpulan perbankan itu bagi membolehkan pelanggan membuka akaun dan melakukan transaksi perbankan serta pembayaran menerusi telefon mudah alih.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Farid Alias berkata, Maybank menyasarkan 100,000 pengguna MAE menjelang akhir tahun ini dan yakin aplikasi itu akan digunakan sehingga 4.5 juta pengguna.

“MAE melambangkan usaha berterusan Maybank dalam mewujudkan pengalaman digital dalam semua segmen pelanggan menerusi platform digital.

“Selepas melancarkan Maybank2u (M2u) pada 2000, hari ini kami memperkenalkan perkhidmatan pertama seumpamanya di pasaran sejajar dengan komitmen menjadikan 'Bank Digital Pilihan' di rantau ini,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran MAE di Kuala Lumpur, hari ini.

Menerusi MAE, pengguna kini boleh memulakan proses perbankan dalam talian menerusi aplikasi Maybank App dalam masa kurang lima minit dan menikmati perkhidmatan penuh dompet elektronik (e-dompet).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 5:35 PM