KETUA Menteri Chow Kon Yeow (tiga dari kiri) mencuba aplikasi e-pembayaran bagi pembelian tanpa tunai di pasar awam selepas melancarkan Majlis Pelancaran Inisiatif Tanpa Tunai di Pasar Awam Seluruh Negeri Pulau Pinang di pasar awam Bayan Baru, hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
KETUA Menteri Chow Kon Yeow (tiga dari kiri) mencuba aplikasi e-pembayaran bagi pembelian tanpa tunai di pasar awam selepas melancarkan Majlis Pelancaran Inisiatif Tanpa Tunai di Pasar Awam Seluruh Negeri Pulau Pinang di pasar awam Bayan Baru, hari ini. FOTO ZUHAINY ZULKIFFLI
Zuhainy Zulkiffli


URUSAN jual beli di pasar awam seluruh Pulau Pinang kini boleh menggunakan pembayaran tanpa tunai atau dompet mudah alih.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, inisiatif itu susulan pelancaran Inisiatif Tanpa Tunai Di Pasar Awam Seluruh Pulau Pinang.

Katanya, inisiatif itu diharap dapat membantu melancarkan urusan jual beli peniaga dan pelanggan selaras dengan Visi Penang 2030 bagi menjadi negeri pintar selain menjana semula ekonomi negeri.

"Kerajaan negeri juga mensasarkan 90 peratus daripada jumlah keseluruhan 56 pasar awam di negeri ini menggunakan e-pembayaran menjelang Disember depan.

"Kita turut menyasarkan sebanyak 70 peratus daripada 5,000 peniaga menerima e-pembayaran ini dan sekurang-kurangnya 20,000 transaksi jual beli menerusinya," katanya kepada NSTP, di Georgetown hari ini.

Terdahulu, Chow melancarkan logo Penang e-Bayar 'Cepat, Mudah dan Selamat' pada majlis pelancaran di pasar awam Bayan Baru yang bertemakan 'Cashless Accelarating Transformation (CAT).

Chow berkata, bagi menggalakkan penggunaannya, institusi perbankan serta pengeluar wang elektronik bukan bank turut menawarkan pelbagai insentif kepada peniaga yang menggunakan e-pembayaran itu,

Katanya, ia membabitkan 17 institusi iaitu Touch n Go Digital, Grab, Boost, Shopee, Razer, WavPay, MCash, KiplePay, GoBiz, iPay88, GHL, Fave, Paynet dan institusi perbankan utama seperti Public Bank, Ambank, Maybank, CIMB Bank dan Hong Leong Bank.

Mengulas lanjut Chow berkata, bagi menjayakan inisiatif itu, Kerajaan Negeri sudah meluluskan cadangan bagi menempatkan 250 promoter digital dan 32 jurulatih digital yang bekerja secara sambilan bagi memberi galakan dan informasi mengenai penggunaan e-pembayaran di pasar awam.

Katanya, gaji yang ditawarkan kepada promoter digital ialah sebanyak RM500 sebulan dengan tempoh kerja selama enam bulan manakala RM1,000 bagi jurulatih digital dengan tempoh kerja selama 12 bulan.

"Kami mensasarkan individu yang terkesan akibat pandemik Covid-19, walaupun bayarannya tidak tinggi namun ia diharap dapat menjadi pekerjaan sementara bagi menjana semula pendapatan mereka.

"Ia akan dimulakan tidak lama lagi iaitu dalam masa terdekat, " katanya lagi.

Di Pulau Pinang, terdapat 26 pasar awam di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan 30 lagi di bawah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 3:19 PM