London: Pengurus Chelsea, Jose Mourinho tidak bimbang tahap kecergasan tiga penyerang utamanya menjelang pertembungan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menentang Manchester United di Old Trafford, malam esok.

Loic Remy terhencut-hencut ketika Blues menang besar 6-0 ke atas Maribor dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Rabu lalu selepas menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-14, manakala Diego Costa diketepikan kerana kecederaan hamstring.

Didier Drogba akan memulakan perlawanan menentang pasukan kendalian Louis van Gaal sekalipun Mourinho mengakui pemain veteran itu tidak begitu cergas.

"Loic mengalami kecederaan otot. Saya tidak tahu keadaannya dan tidak bimbang. Apabila seorang pemain cedera, turunkan seorang lagi pemain," jelas Mourinho.

Remy menjalani imbasan Rabu lalu dan jika dua penyerang utamanya tidak boleh diturunkan, Mourinho dijangka meminta Drogba, 36, yang menggantikan Remy menentang Maribor, mengetuai barisan serangan walaupun pemain Ivory Coast itu baru pulih daripada kecederaan buku lali.

Perlawanan malam esok menemukan Mourinho dengan pengurus United, Van Gaal yang mengekalkan pengendali Portugis itu dalam kalangan stafnya di Barcelona selepas beliau kali pertama dibawa menyertai kelab gergasi Sepanyol itu oleh bekas pengurus England, Bobby Robson.

Namun ketika United yang bergelut dengan keputusan seri 2-2 menentang West Brom di laman lawan sebelum ini, pengurus dari Belanda itu sedar beliau memerlukan lebih banyak input mengenai strategi dipraktikkan Mourinho jika pasukannya mahu menundukkan Chelsea.

"Kini kami perlu bermain menentang Chelsea dan di Belanda mereka mengatakannya 'satu lagi Kuche' atau satu lagi 'biskut'. Saya maksudkan satu lagi tahap," ujar Van Gaal.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:00 AM