ZOUMA (tiga dari kanan) menanduk gol ketiga Blues.
ZOUMA (tiga dari kanan) menanduk gol ketiga Blues.
AFP

London: Pengurus Chelsea Jose Mourinho yakin anak buahnya mampu mencabar perebutan empat trofi musim ini selepas menang 3-0 ke atas pasukan divisyen dua, Watford pada pusingan ketiga Piala FA.

Tiga gol dalam tempoh 14 minit di separuh masa kedua yang dihasilkan Willian, Loic Remy serta Kurt Zouma cukup untuk meletakkan Chelsea dalam kedudukan selesa pada perlawanan di Stamford Bridge itu.

Mourinho turut berpeluang merehatkan beberapa pemain utamanya pada perlawanan itu.

Memenangi empat piala musim ini bagaimanapun satu cabaran besar buat Blues terutama selepas Chelsea hilang kelebihan lapan mata ke atas Manchester City di persada Liga Perdana ketika ini.

Bulan depan bakal menentukan masa depan mereka dan dengan enam perlawanan yang perlu ditempuhi, Mourinho percaya pasukannya mampu mengatasi semua bebanan sambil berharap kepada pasukan keduanya untuk turun dalam salah satu daripada empat piala yang menjadi sasarannya.

“Saya masih perlu menurunkan beberapa pemain utama kerana kami tidak mahu mensia-siakan mana-mana peluang untuk menang empat kejohanan.

“Kami mahu menang setiap perlawanan. Kami perlu mengulangi keputusan seperti yang kami terima ini. Kami akan terus membuat beberapa pertukaran untuk mengukuhkan pasukan.

“Kali ini, saya tidak menyenaraikan (Cesc) Fabregas dan (Eden) Hazard. Pada perlawanan seterusnya, saya mungkin menurunkan mereka seperti di suku akhir Piala Liga.

“Kami tidak ada masalah dengan pertukaran pemain. Hari ini saya berpeluang merehatkan ramai pemain. Saya boleh merehatkan Nemanja Matic dan Branislav Ivanovic.

“Saya akan lakukan perkara sama terhadap pemain lain. Lain kali, mungkin giliran Diego (Costa) atau Gary Cahill. Kami tidak ada masalah dengan itu. Kami tidak ada kecederaan dan semua pemain cergas sepenuhnya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 5:52 AM