Agensi

London: Jose Mourinho tidak mahu ambil pusing meskipun kekurangan barisan penyerang ketika pengurus Chelsea itu bersedia mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Inggeris dengan bertemu Manchester United, Ahad ini meskipun tanpa Diego Costa and Loic Remy.

Didier Drogba, penyerang veteran dari Ivory Coast yang baru pulih daripada kecederaan buku lali satu-satunya penyerang yang cergas dimiliki Mourinho selepas Remy berdepan kecederaan pangkal paha ketika menang 6-0 ke atas Maribor pada saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Remy menggantikan Costa yang sudah menjaringkan sembilan gol pada saingan Liga Perdana Inggeris, tetapi masih bergelut dengan masalah kecederaan hamstring.

Mourinho enggan terlalu memikirkan kepulangan semula barisan pemain yang tercedera, sebaliknya kekal fokus kepada barisan pemain sedia ada.

“Kami tidak akan ‘menangis’ hanya kerana masalah kecederaan.

“Kami memang tidak boleh menafikan hakikat sebenar. Pada saat ini, kami berdepan masalah dengan pemain yang tidak akan dapat beraksi.

“Saya tidak mahu bercakap soal kecederaan dan United. Saya tak mahu fikirkan apa-apa.

“Kami akan melakukan persiapan bagi perlawanan itu seperti biasa dan turun berdepan lawan yang sememangnya amat kami hormati,” katanya.

Remy menjaringkan gol pembukaan ketika bertemu Maribor sebelum digantikan pada minit ke-16 dengan Drogba yang menjaringkan gol pertamanya menerusi sepakan penalti.

Drogba mungkin akan diturunkan semula ketika bertemu United nanti.

Mungkin juga Mourinho akan menurunkan skuad tanpa penyerang di Old Trafford, sama seperti yang pernah dilakukannya musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:03 AM