AFP

London: Chelsea memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris menentang Swansea awal pagi esok dengan kesedaran masalah kecederaan Diego Costa mungkin menjejas impian mereka kekal sebagai kuasa unggul di England.

Dua puluh gol Costa dalam 26 penampilan liga amat penting buat pasukan kendalian Jose Mourinho mendahului perlumbaan kejuaraan musim lalu sejak awal.

Namun kebimbangan mengenai tahap kecergasan penyerang Sepanyol itu sering diperkatakan sepanjang kempen tapi mujurlah kecemerlangan Eden Hazard menyelamatkan pasukan ketika Costa tidak bermain.

Kelibat Costa yang terhincut-hincut keluar ketika perlawanan persahabatan menentang Barcelona baru-baru ini diikuti ketiadaannya pada Perisai Komuniti hujung minggu lalu mencetus tanda tanya mengenai masalah bekas bintang Atletico Madrid itu yang belum berakhir.

Pengurus Chelsea, Mourinho berpegang teguh dengan polisinya mengendalikan skuad dengan hanya tiga penyerang, ketika Radamel Falcao tiba dari AS Monaco secara pinjaman untuk menyertai Loic Remy sebagai pelapis kepada Costa selepas Didier Drogba berpindah ke kelab MLS, Montreal Impact.

Perlawanan pramusim membuktikan pilihan serangan Chelsea amat terhad berbanding musuh utama mereka dan ketika Mourinho tidak menolak kemungkinan Costa turun menentang Chelsea di Stamford Bridge, peluang buatnya agak tipis.

Falcao menyumbat hanya empat gol dalam 29 penampilan bersama Manchester United musim lalu dan dia sedar tidak mudah menyesuaikan diri dengan cabaran unik Liga Perdana.

“Ia agak lebih fizikal di sini berbanding mana-mana liga di Eropah,” kata Falcao.

“Ia satu liga yang amat kompetitif dengan setiap pasukan akan bermain bermati-matian dalam setiap perlawanan.

“Ia memerlukan keupayaan dan fokus 100 peratus kerana ia amat kompetitif, fizikal dan taktikal.

“Mungkin falsafah bola sepak agak berbeza di sini kerana sering kali serangan akan dilakukan dan kurang masa buat pasukan yang suka bermain dengan menguasai pegangan bola.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:11 AM