ZON kanak-kanak di Perpustakaan BESTARI Samsung Perlis menawarkan e-buku interaktif.
ZON kanak-kanak di Perpustakaan BESTARI Samsung Perlis menawarkan e-buku interaktif.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd memperkenalkan Perpustakaan BESTARI Samsung kedua negara di Perpustakaan Awam negeri Perlis.

Sejajar dengan wawasan kerajaan, inisiatif Perpustakaan BESTARI Samsung bertujuan menyokong agenda nasional menjadikan Malaysia Masyarakat Berilmu yang mahir dengan pengetahuan ICT dan kaya maklumat menjelang 2020.

Perpustakaan ini juga direka untuk membantu meningkatkan kadar celik huruf dan membaca terutama dalam kalangan masyarakat luar bandar dan golongan miskin bandar di peringkat negeri.

Dalam perkembangan negara ke arah menjadi masyarakat kaya dengan asas pengetahuan, pembelajaran dan teknologi tidak boleh dipisahkan.

Ini dapat dilihat di negeri yang pesat membangun seperti Perlis kerana beberapa institusi pendidikan dilengkapi tahap pencapaian teknologi terkini. Pelancaran Perpustakaan BESTARI Samsung di Perlis tepat pada masanya bagi memenuhi keperluan dan permintaan masyarakat setempat yang semakin meningkat untuk pusat sumber yang canggih dan interaktif.

Ini juga akan menggalakkan pembelajaran yang lebih baik dan memastikan maklumat yang boleh diakses untuk semua.

Majlis disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, yang diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Hamdan Bahari; Ketua Pengarah PNM, Nafisah Ahmad dan Presiden Samsung Malaysia Electronics, Lee Sang Hoon.

Perpustakaan BESTARI Samsung direka bentuk kepada tiga konsep tertentu - Interaktif, Bacaan dan Kanak-Kanak.

Terdapat lebih 35 alat peranti Samsung untuk pengguna yang terdiri daripada tablet dan paparan berformat besar atau ‘smart signage’ dengan keupayaan skrin sesentuh.

Pengguna Perpustakaan BESTARI Samsung di Perlis juga akan mempunyai akses kepada 4,300 tajuk e-Buku daripada pelbagai genre dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Bahasa Cina di Zon Bacaan.

Kandungan tambahan seperti e-Majalah, e-Akhbar dan laman web interaktif dengan keupayaan pandang dengar dapat dilayari di Zon Interaktif, manakala kandungan sesuai untuk kanak-kanak ditawarkan di Zon Kanak-Kanak.

Perpustakaan BESTARI bakal memberi manfaat kepada lebih 105,000 pelawat ke Perpustakaan Negeri Perlis setiap tahun.

Terdapat juga bengkel interaktif bimbingan, pembacaan dan pendidikan untuk membimbing pengguna dalam memaksimumkan sumber yang ada di Perpustakaan BESTARI Samsung.

Sesi-sesi ini akan dikendalikan pekerja sukarelawan dan pelatih Samsung, yang akan berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka dalam membawa pengguna mempelajari lebih banyak mengenai inovasi terkini Samsung.

Dengan teknologi maju ini, kemudahan yang disertakan dengan aplikasi dan kandungan yang dipilih dengan teliti, Perpustakaan BESTARI menampilkan kepada pengguna persekitaran perpustakaan dengan teknologi yang dipertingkatkan untuk pengalaman lebih menyeronokkan, interaktif dan menarik.

“Pelancaran hari ini adalah sebahagian daripada siri inisiatif oleh PNM dan Perpustakaan Negeri di negara ini untuk meluaskan akses awam kepada maklumat, serta memupuk tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Melalui kerjasama berterusan dengan SME, Perpustakaan BESTARI Samsung baru di Perlis ini menawarkan peranti Samsung dan teknologi terkini yang memberikan pengguna satu pengalaman baru membaca secara digital.

Ini akan memberi inspirasi kepada orang ramai, terutama golongan muda Malaysia untuk meneruskan tabiat berguna ini dan pada masa yang sama meningkatkan kemahiran IT mereka,” kata Nafisah.

Menurut Lee, perpustakaan BESTARI Samsung adalah penyatuan pengajian produktif dan teknologi inovatif, kombinasi utuh yang membantu negara untuk maju dalam usahanya ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan PNM dan PPANP dalam mewujudkan Perpustakaan BESTARI Samsung di Perlis ini.

“Saya menggalakkan pengguna untuk meneroka sepenuhnya teknologi terkini dan perkhidmatan Samsung dan seterusnya, menggunakan pengetahuan dan kemahiran ICT yang dipelajari mereka ke arah memberi inspirasi perubahan positif dalam masyarakat dan kepada Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Perpustakaan BESTARI Samsung sebahagian usaha Warga Korporat Global Samsung yang mengguna khidmat teknologi dan kepakaran Samsung untuk kebaikan masyarakat setempat.

Perpustakaan BESTARI Samsung adalah usaha syarikat dalam bidang pendidikan apabila Perpustakaan BESTARI perdana di Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur dilancarkan pada Jun 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 12:47 PM