KANAK-KANAK Orang Asli dari Kampung Aring 5, Gua Musang  bergambar di dalam Perpustakaan Mini yang disediakan Perpustakaan UniSZA.
KANAK-KANAK Orang Asli dari Kampung Aring 5, Gua Musang bergambar di dalam Perpustakaan Mini yang disediakan Perpustakaan UniSZA.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KUALA NERUS: Menyedari kepentingan membaca dalam kalangan Orang Asli, Perpustakaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyediakan perpustakaan mini di perkampungan Orang Asli Aring 5, Gua Musang, Kelantan.

Perpustakaan itu yang menyediakan 350 bahan bacaan dan ruangan pembelajaran akan memanfaatkan penduduk terutama 100 kanak-kanak di situ.

Pengarah Projek Perpustakaan Mini UniSZA, Mohd Sabri Muda berkata, program itu bertujuan mendedahkan masyarakat Orang Asli dengan budaya membaca selain mengalakkan mereka mencintai ilmu.

“Kami terpanggil untuk melaksanakan projek ini memandangkan kita sedia maklum mereka sukar untuk keluar dari perkampungan disebabkan jauh dari bandar.

“Kita tidak boleh mengharapkan mereka datang kepada kita dan pada masa sama mereka juga tidak sepatutnya dipinggirkan daripada pendidikan.

“Kerana itulah kami mengambil langkah turun ke perkampungan berkenaan bagi memberikan kemudahan ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Sabri berkata, usaha itu membuahkan hasil positif apabila ramai ibu bapa dan kanak-kanak Orang Asli yang memberi sokongan apabila hadir memeriahkan program.

“Selain menyediakan perpustakaan mini, kami menganjurkan pelbagai aktiviti lain antaranya sesi motivasi dan pemeriksaan kesihatan percuma yang dikendalikan 60 mahasiswa dari Fakulti Perubatan dengan diketuai Prof Madya Dr Mohd Sayuti Razali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pustakawan UniSZA, Norulhuda Makhtar berkata, masyarakat Orang Asli di kampung itu turut terbabit dengan Projek Khaleef Bateq yang bertemakan Sekolah Bimbingan Fardhu Ain dan Galakan Membaca anjuran Persatuan Mahasiswa Antropologi dan Dakwah, Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) UniSZA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).

“Program itu bermula awal sejak Februari lalu dan sekumpulan 87 mahasiswa antropologi dan dakwah dari FSSG digerakkan. Program dirasmikan sendiri oleh Dekan FSSG, Prof Dr Wan Abd Aziz Wan Mohd Amin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 7:00 AM